Sekarang malu pun dah ada 'akaun media sosial' sendiri

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ZAMAN dulu, orang simpan malu macam simpan maruah, Sekarang, malu pun dah ada ‘akaun media sosial’ sendiri siap live tiap malam.

Semua benda nak kongsi. Putus cinta, gaduh dengan mak, bergaduh dengan jiran semua mesti masuk TikTok.

Inilah dunia kita sekarang: makin ramai jadi hakim, makin ramai pula sanggup melondehkan diri sendiri.

Lagi ramai orang komen, lagi puas hati. Seolah-olah nilai diri diukur pada jumlah tontonan.

Yang sedihnya, budaya ini tak berhenti pada individu. Kadang keluarga sendiri pun ikut buka pekung antara satu sama lain siap tag nama.

Dari hal dapur sampai hal katil, semua dihebah atas nama ‘jujur’ dan ‘hak bersuara’.

Padahal, jujur tanpa adab hanyalah kebodohan yang dibungkus berani.

Aib keluarga kini bukan lagi rahsia, tapi bahan tontonan awam.

Bila marah pada suami, terus muat naik status. Bila kecewa dengan anak, kongsi rakaman. Kononnya nak ‘luah perasaan’, tapi sebenarnya melondehkan maruah sendiri.

Artikel Berkaitan:

Media sosial dah jadi ruang ‘sidang keluarga’ tanpa dinding. Masalah kecil jadi besar sebab semua orang boleh masuk campur.

Yang dulu boleh selesai dengan minta maaf, sekarang berlarutan sebab komen tak berhenti.

Sedihnya, anak-anak jadi mangsa. Mereka tengok ibu ayah bergaduh depan dunia, dan belajar satu perkara kalau nak perhatian, buka aib.

Bila budaya ni merebak, maruah bukan lagi perkara yang dijaga, tapi content yang dijual.

Kita lupa, rumah sepatutnya tempat berlindung, bukan panggung drama. Tak semua benda perlu diceritakan kepada dunia.

Sebelum kita menulis status seterusnya, elok kita tanya diri kita sedang cari keadilan atau sekadar penonton?

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!