Gua Batu Maloi permata tersembunyi

Lakaran Maloi yang terdapat pada batu dalam gua berkenaan.
Lakaran Maloi yang terdapat pada batu dalam gua berkenaan.
A
A
A

KUALA PILAH – Gua Batu Maloi merupakan antara khazanah alam semula jadi yang menarik dan memiliki potensi besar sebagai destinasi eko-pelancongan unggul di Negeri Sembilan.

Terletak di Hutan Simpan Gunung Tampin, laluan gua sepanjang 2.4 kilometer ini berada dalam kawasan berbukit dan disaliri oleh Sungai Johol.

Ia didominasi oleh batuan granit zaman Trias yang dianggarkan berusia antara 250 hingga 200 juta tahun.

Antara peserta bergambar kenangan dalam Gua Batu Maloi.
Antara peserta bergambar kenangan dalam Gua Batu Maloi.

Mengikut sejarah, taman eko-rimba ini dikaitkan dengan mitos seorang pawang bernama Maloi yang dikatakan pernah duduk di atas batu besar yang terdapat di dalam gua tersebut.

Pada tahun 1940-an, kawasan ini pernah didiami komuniti Orang Asli yang hidup secara nomad dan berpindah setiap kali berlaku kematian.

Kampung tersebut dikenali sebagai Kampung Tangai, namun begitu akibat serangan harimau kumbang ke atas haiwan ternakan, penduduk diarahkan berpindah ke Gemencheh.

Pada asalnya, gua ini menjadi lokasi persinggahan pemancing dari kampung-kampung berhampiran, namun bermula tahun 1993 ia mula diterokai oleh sebuah persatuan dari Hospital Kuala Pilah, sekali gus membuka jalan pembangunan aktiviti eko-pelancongan.

Artikel Berkaitan:

Menyusup dicelah batu untuk masuk ke Gua Batu Maloi.
Menyusup dicelah batu untuk masuk ke Gua Batu Maloi.

Kini, kawasan ini dibuka secara rasmi untuk aktiviti penerokaan gua. Sepanjang laluan dalam gua, peserta akan diuji dengan pelbagai cabaran seperti merangkak, memanjat, menyelam dan menyusur laluan sempit yang licin, gelap dan berair.

Aktiviti lasak di Gua Batu Maloi bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental, malah memberikan pengalaman unik yang sukar dilupakan kepada setiap peserta.

Suasana gua yang sejuk dan lembap serta bunyi aliran air bawah tanah menjadikan penerokaan di sini lebih mengujakan dan berbeza berbanding gua-gua lain di negara ini.

Bagi mereka yang ingin mencabar diri sambil menikmati keindahan alam semula jadi, Gua Batu Maloi adalah destinasi yang tidak harus dilepaskan.

Menurut Pegawai Hutan Daerah Negeri Sembilan Timur, Asri Draman, Gua Batu Maloi merupakan salah satu daripada empat taman eko-rimba di bawah pentadbiran Pejabat Hutan Daerah Negeri Sembilan Timur, selain Ulu Bendul, De Bana dan Jeram Tengkek.

“Gua ini terletak kira-kira satu jam pemanduan dari Seremban. Sehingga Ogos lalu, Gua Batu Maloi mencatatkan kehadiran 5,188 peserta manakala pada tahun lalu jumlah keseluruhan pengunjung adalah 10,418 orang.

“Terdapat 24 checkpoint yang ditanda sebagai panduan serta langkah keselamatan kepada pengunjung,” katanya.

Jurupandu Gua Batu Maloi, Nor Aini Omar, 54, berkata, dia mula terlibat dalam aktiviti pandu gua sejak tahun 2015 selepas mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertahanan Awam dan kemudiannya dilantik secara rasmi sebagai jurupandu.

Gua Batu Maloi lokasi menarik aktiviti eksplorasi dalam gua buat penggemar aktiviti sukan lasak.
Gua Batu Maloi lokasi menarik aktiviti eksplorasi dalam gua buat penggemar aktiviti sukan lasak.

Menurutnya, aktiviti penerokaan gua itu diadakan hampir setiap minggu dan sambutan menggalakkan khususnya daripada pelajar, organisasi kerajaan dan pencinta alam semula jadi.

“Kadang-kadang satu minggu penuh ada aktiviti. Ada masanya empat hari berturut-turut saya masuk ke dalam gua bersama kumpulan peserta.

“Sepanjang menjadi jurupandu, aspek keselamatan peserta sentiasa diberi keutamaan dan sehingga kini tiada sebarang insiden kemalangan atau kecederaan melibatkan peserta direkodkan sepanjang aktiviti ini dijalankan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Gua Batu Maloi di Negeri Sembilan merupakan destinasi eko-pelancongan dengan potensi besar
  • Terletak di Hutan Simpan Gunung Tampin, laluan gua ini disaliri oleh Sungai Johol dan dominasi batuan granit yang berusia antara 250 hingga 200 juta tahun
  • Dikaitkan dengan mitos pawang bernama Maloi dan pernah didiami komuniti Orang Asli pada tahun 1940-an
  • Bermula tahun 1993, gua ini mula diterokai dan dibuka untuk aktiviti eko-pelancongan termasuk merangkak, memanjat, dan menyusur laluan sempit
  • Menawarkan pengalaman unik penerokaan dengan suasana sejuk, lembap, dan bunyi aliran air bawah tanah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!