MAH Negeri Sembilan minta tangguh Fi Lestari RM4 semalam di Port Dickson

PORT DICKSON – Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan berharap Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dapat menangguhkan pelaksanaan Fi Lestari sebanyak RM4 bagi setiap bilik semalam yang dijadualkan berkuat kuasa bulan depan.
Pengerusinya, Haziz Hassan berkata, pihaknya bukan menolak pelaksanaan tersebut, namun berpandangan ia dibuat secara tergesa-gesa.
Beliau berkata, pihaknya bimbang pelaksanaan fi itu akan memberi kesan negatif kepada industri perhotelan di Port Dickson menjelang Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Negeri Sembilan tahun hadapan.
“Kita tahu di negeri-negeri lain pun ada mengenakan fi sebegini, tetapi bagi kita, untuk dilaksanakan pada waktu sekarang adalah kurang sesuai, ditambah pula caj RM4 yang dikenakan dianggap agak tinggi.
“Kami bimbang orang ramai tidak berminat lagi untuk menginap di hotel dan akan memilih rumah inap desa kerana tiada caj seumpama itu dikenakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya lagi, MPPD juga diharap dapat mempertimbangkan semula jumlah fi tersebut supaya tidak membebankan pelanggan.
Beliau turut mempersoalkan pelaksanaan fi itu yang hanya dilaksanakan di Port Dickson dan bukannya di seluruh Negeri Sembilan.
“Demi keadilan kepada industri perhotelan, kita juga meminta supaya Fi Lestari ini turut dikuatkuasakan kepada pengusaha inap desa.
“Sebaiknya ia dilaksanakan secara serentak di seluruh Negeri Sembilan. Kita juga bersedia mengadakan sesi libat urus bersama semua pemain industri bagi memastikan pelaksanaannya kelak bersifat adil, telus dan inklusif,” katanya.
Haziz turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, pengusaha hotel dan agensi pelancongan adalah kunci kepada pertumbuhan sektor pelancongan yang mampan dan berdaya saing, sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri.
Sementara itu, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, fi tersebut diperkenalkan bagi menampung sebahagian kos penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan awam di kawasan pelancongan seperti Port Dickson dan daerah lain yang mempunyai penginapan perniagaan.
Jelasnya, kutipan itu akan digunakan bagi tujuan kebersihan, pengindahan, keselamatan, landskap, promosi pelancongan serta peningkatan imej kawasan tumpuan pelancong.
“Langkah ini sejajar dengan matlamat menjadikan sektor pelancongan Negeri Sembilan lebih mampan dan berdaya saing.
"Pelaksanaan fi ini akan dilaksanakan oleh semua PBT, bukannya di PD saja",katanya.
Ringkasan AI
- Persatuan Hotel Malaysia Negeri Sembilan berharap Fi Lestari RM4 di Port Dickson ditangguhkan
- Pelaksanaan Fi Lestari dilihat tergesa-gesa dan boleh jejas industri perhotelan
- Fi dianggap tinggi dan mungkin mengurangkan minat menginap di hotel
- MAH mahu Fi Lestari dilaksanakan serentak di seluruh Negeri Sembilan
- Fi bertujuan menampung kos penyelenggaraan kemudahan awam di kawasan pelancongan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

