Warga emas pengsan SUV dipandu terlibat nahas

Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari tempat duduk kenderaan yang dipandunya.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari tempat duduk kenderaan yang dipandunya.
A
A
A

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas tidak sedarkan diri manakala seorang lagi cedera ringan dalam nahas membabitkan dua kenderaan di bawah jejambat Jalan Masjid Negeri, Ayer Itam di sini pada Isnin.

Kejadian pada kira-kira jam 12.32 tengah hari itu melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V dan sebuah kereta Proton Ertiga.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.32 tengah hari sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak tiba di lokasi enam minit kemudian.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila Honda CR-V dipercayai melanggar bahagian belakang Proton Ertiga.

“Seorang mangsa lelaki berusia 71 tahun yang merupakan pemandu Honda CR-V ditemui berada di tempat pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri namun tidak tersepit.

“Sementara itu, pemandu Proton Ertiga yang juga seorang lelaki hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke hospital berhampiran sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, mangsa yang tidak sedarkan diri berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba pada jam 12.55 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

“Kami menjalankan penilaian awal dengan pemakaian kelengkapan perlindungan diri lengkap sebelum melaksanakan kerja-kerja mengeluarkan mangsa.

“Mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.15 tengah hari,” ujarnya.

John berkata, enam anggota bomba termasuk seorang penyelia terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan satu jentera CFRT dan satu unit EMRS, selain bantuan daripada pihak polis dan KKM.

Sementara itu, kejadian berkenaan menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk kira-kira 30 minit di Jalan Greenlane dari arah Gelugor menuju ke pusat bandar serta dari arah Kolej Vokasional Batu Lanchang berikutan laluan menjadi sempit ketika kerja-kerja menyelamat dijalankan.

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki warga emas tidak sedarkan diri dan seorang lagi cedera ringan dalam nahas di bawah jejambat Jalan Masjid Negeri, Ayer Itam
  • Nahas membabitkan sebuah SUV Honda CR-V dan sebuah kereta Proton Ertiga
  • Kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda CR-V melanggar bahagian belakang Proton Ertiga
  • Mangsa yang tidak sedar dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital
  • Kejadian menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di Jalan Greenlane

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!