Tulisan siapa pada tin susu kita?

BELUM pun reda kecoh trak pikap di Melaka yang terpampang tulisan Hebrew, muncul pula rakaman lelaki Palestin fasih berbahasa Melayu menunjukkan susu tin Malaysia — lengkap logo halal Jakim, tapi bertulis Hebrew di labelnya. “Macam mana produk Malaysia boleh masuk Israel?” tanya beliau, separa hairan, separa marah.
Hakikatnya, kata syarikat pengeluar, susu tin itu bukan ke pasaran Israel, tapi ke Ramallah, Tebing Barat.
Rupa-rupanya tulisan Hebrew bukan mesej rahsia Zionis, tapi syarat eksport. Pengguna di sana guna tiga bahasa, Arab, Inggeris dan Hebrew. Kalau tak ikut, barang tak lepas sempadan, kata pengeluar.
Jadi isunya bukan niat nak agungkan bahasa rasmi negara laknatullah, tapi hal logistik dan keperluan pasaran. Lagipun susu tin bertulisan Hebrew itu tidak dijual di pasaran Malaysia.
Namun dari Melaka ke Palestin, Merak Jalanan perasan reaksi rakyat sama: terkejut, keliru, lalu cepat menuduh.
Nampak huruf Hebrew terus dikaitkan dengan Zionis, walhal ia cuma aksara kuno yang hidup dalam dua dunia — bahasa dan geopolitik.
Ironinya, tulisan Jepun dan Korea kita anggap comel; tulisan Arab kita anggap suci; tulisan Rencong, Lontara, Kawi atau Swahili pula ramai tak kenal.
Kalau semua huruf dunia keluar serentak di pasar raya, mungkin kita terkejut hingga tak sempat semak tarikh luput.
Masalahnya bukan pada huruf, tapi pada persepsi. Kita cepat sentap bila nampak lambang luar biasa.
Kadang isu kecil di luar negara pun jadi bahan besar di Malaysia sebab kita suka rasa terlibat.
Moral cerita, pengguna cuma mahu faham apa yang ditulis di bungkusan dan yakin. Jadi kalau jual di Malaysia, utamakan bahasa Melayu; kalau eksport, jelaskan sebab label ditulis dua atau tiga bahasa.
Dunia dah cukup panas, jangan bagi huruf pun jadi bahan bakar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
