Pendidikan ada masalah, perlu ditangani

Program Meja Bulat:Adakah Pendidikan Kita Dalam Krisis? bersama Anuar (kiri) selaku moderator dan panelis bermula dua dari kiri; Mohd Afiq, Mohd Imran, Chi Yang, Mohammad Syamil dan Danial Al-Rashid di Studio Sinar Harian.
Program Meja Bulat:Adakah Pendidikan Kita Dalam Krisis? bersama Anuar (kiri) selaku moderator dan panelis bermula dua dari kiri; Mohd Afiq, Mohd Imran, Chi Yang, Mohammad Syamil dan Danial Al-Rashid di Studio Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM – Senario pendidikan negara pada masa kini dilihat masih mempunyai kepincangan yang perlu diberi perhatian serius semua pihak berkepentingan bagi memastikan ia berada di landasan yang betul.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Danial Al-Rashid Haron berkata, tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak, harus diakui senario pendidikan semasa sedang berdepan masalah.

"Kalau kita mahu terus menafikan bahawa sistem kita sedang berlaku baik, kita juga sedang berada di landasan yang betul, ya kita boleh berkata demikian tapi disebalik itu sebenarnya ada kepincangan yang sedang kita perhatikan.

Danial Al-Rashid Haron
Danial Al-Rashid Haron

"Mengambil contoh apa yang disebut moderator, negara mempunyai nisbah seorang guru bagi 12 pelajar, kalau kita buat perbandingan dengan beberapa negara lain, kita lebih baik namun masih ada kepincangannya," katanya selaku panel Program Meja Bulat: Adakah Pendidikan Kita Dalam Krisis anjuran Sinar Harian.

Turut hadir sebagai panel ialah Exco Perhubungan Antarabangsa dan Diplomatik Armada Bersatu, Muhammad Afiq Hassan; Setiausaha Publisiti Dapsy, Ho Chi Yang; Pengarah Strategik Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohammad Syamil Luthfi Samsul Bahrin dan Ketua Pemuda Umno Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin manakala Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad bertindak selaku moderator.

Menurut Danial Al-Rashid, walaupun negara mempunyai lebih 400,000 guru untuk menampung kira-kira lima juta pelajar, realiti di sekolah tidak mencerminkan potensi sebenar nisbah tersebut.

"Apabila kita bercakap tentang nisbah, sepatutnya ia berikan kesan yang positif di mana fokus dan perhatian guru kepada pelajar dan juga pengajaran menjadi lebih baik.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, bebanan tugas guru sekarang semakin berat dengan pelbagai tugas dokumentasi dan pelaporan yang perlu dilunaskan," jelasnya.

Tambah Danial Al-Rashid, selain bebanan guru semakin bertambah, sistem pendidikan turut berdepan isu masih ramai murid dikesan belum menguasai kemahiran membaca.

“Kita selalu kata kita berada di landasan betul, ada dasar pendidikan negara, ada reformasi pendidikan tetapi sebenarnya kita mahu ke arah mana?" soalnya.

Ringkasan AI

  • Senario pendidikan negara kini mempunyai kepincangan yang perlu diberi perhatian serius
  • Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara, Danial Al-Rashid Haron mengakui pendidikan sedang berdepan masalah tanpa menuding jari
  • Walaupun negara mempunyai nisbah seorang guru untuk 12 pelajar, realiti di sekolah tidak mencerminkan potensi sebenar
  • Bebanan tugas guru semakin berat dengan pelbagai tugas dokumentasi dan pelaporan
  • Masih ramai murid dikesan belum menguasai kemahiran membaca

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!