Isu arak di sekolah perlu ditangani dengan bijak

SHAH ALAM - Isu penggunaan dewan sekolah bagi aktiviti yang melibatkan arak perlu ditangani secara bijak supaya prinsip pendidikan dihormati tanpa menjejaskan sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.
Pengarah Strategik Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohamad Syamil Luthfi Samsul Bahrin berkata, garis sempadan antara keperluan komuniti dan dasar pendidikan perlu dijaga agar tidak mencetuskan salah faham antara kaum serta tidak menjejaskan nilai-nilai pendidikan negara.
“Isu ini perlu ditangani dengan bijak supaya prinsip pendidikan dihormati, namun sensitiviti masyarakat majmuk turut dipelihara,” katanya kepada Sinar Harian.
Syamil Luthfi turut berpandangan, KPM boleh mempertimbangkan keperluan memberi kelonggaran kepada sekolah bantuan kerajaan atau sekolah swasta, khususnya sekolah jenis kebangsaan Cina yang sering menjadi lokasi pelbagai acara masyarakat.
“Sekiranya sekolah itu merupakan sekolah bantuan kerajaan atau swasta, AMK berpandangan ia boleh dipertimbangkan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak,” ujarnya.
Sementara itu, Exco Hubungan Antarabangsa dan Diplomatik Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Afiq Hassan berkata, isu penyajian minuman beralkohol di dewan awam dalam kawasan sekolah sepatutnya tidak menjadi pertikaian sekiranya semua pihak kembali merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Sebenarnya kita perlu kembali kepada Perlembagaan kita. Mana-mana sahaja majlis rasmi kerajaan yang menggunakan peruntukan rakyat tidak dibenarkan membawa hidangan minuman beralkohol. Itu sahaja. Tidak perlu dirumitkan,” katanya.
Ringkasan AI
- Isu penggunaan dewan sekolah untuk aktiviti yang melibatkan arak perlu ditangani secara bijak
- Perlu memelihara prinsip pendidikan dan sensitiviti masyarakat majmuk
- Garis sempadan keperluan komuniti dan dasar pendidikan harus dijaga
- KPM boleh mempertimbangkan kelonggaran untuk sekolah bantuan kerajaan atau sekolah swasta
- Penyajian minuman beralkohol di dewan awam sekolah harus merujuk Perlembagaan Persekutuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

