AGC perjelas tindakan dakwa 2 guru sekolah rotan pelajar

Laporan Sinar Harian mengenai pendakwaan terhadap guru terbabit.
Laporan Sinar Harian mengenai pendakwaan terhadap guru terbabit.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Peguam Negara (AGC) memperjelaskan tindakan pertuduhan yang dikenakan terhadap dua guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang atas kesalahan berasingan kerana merotan seorang pelajar sehingga mendatangkan kecederaan.

Menurut AGC, kedua-dua individu terbabit berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan telah didakwa pada 6 Oktober 2025, masing-masing di Mahkamah Majistret (2) dan (3) Georgetown, Pulau Pinang.

"Keputusan ini dibuat setelah penelitian menyeluruh terhadap hasil siasatan yang mendapati terdapat asas mencukupi bahawa kedua-dua orang guru yang dituduh tersebut telah melakukan tindakan melampaui peraturan yang ditetapkan.

"Sehubungan itu, jabatan ini mengambil tindakan pendakwaan agar perlindungan terhadap kesejahteraan kanak-kanak sentiasa terpelihara dan tiada yang mengambil tindakan melampaui batasan undang-undang yang ada," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Jabatan itu turut menegaskan bahawa pertuduhan tersebut dikemukakan bukan bertujuan untuk merendahkan martabat profesion perguruan.

Sebaliknya, ia dibuat setelah mempertimbangkan pelbagai faktor, termasuklah hak dan kebajikan pelajar terlibat yang merupakan pelajar berkeperluan khas (OKU).

"Jabatan ini mengiktiraf peranan besar guru dalam mendidik dan membentuk generasi bangsa.

"Pada masa yang sama, jabatan ini kekal komited memastikan setiap tindakan yang diambil adalah adil, seimbang dan berlandaskan prinsip undang-undang demi melindungi kepentingan semua pihak, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan," jelasnya.

Pada 6 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan dua guru dihadapkan ke mahkamah berasingan atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pelajar sekolah pada dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Di Mahkamah Majistret 3, tertuduh, Choong Kean Beng, 59, yang kini sudah bersara didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dengan menggunakan rotan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik Disiplin Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian pada jam 5.30 petang, 6 Disember 2023.

Tertuduh didakwa telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Kean Beng bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 2, seorang guru lelaki iaitu Lau Teik Hwa, 47, turut berdepan pertuduhan sama dan didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar yang sama dengan menggunakan rotan.

Mengikut pertuduhan, Teik Hwa yang masih bertugas di sekolah yang sama didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Disiplin SMJK Chung Hwa Confucian pada jam 4 petang, 2 Ogos 2023.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Ringkasan AI

  • AGC mendakwa dua guru di Pulau Pinang atas kesalahan merotan pelajar sehingga kecederaan
  • Kedua-dua guru tersebut dihadapkan ke mahkamah pada 6 Oktober 2025 atas pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan
  • Pendakwaan dibuat selepas penelitian menyeluruh yang menemukan bukti guru-guru terbabit melanggar peraturan
  • Tindakan pendakwaan diambil untuk melindungi kesejahteraan kanak-kanak dan memastikan tidak ada pelanggaran terhadap undang-undang
  • Pertuduhan itu tidak bertujuan merendahkan profesion perguruan tetapi mempertimbangkan hak dan kebajikan pelajar OKU yang terlibat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!