Elon Musk mungkin tinggalkan Tesla jika pemegang saham tolak pakej gaji AS$1 trilion

Elon Musk. Foto AFP
Elon Musk. Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Elon Musk, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla mungkin meninggalkan syarikat itu jika pemegang saham tidak meluluskan pakej gajinya yang bernilai hampir AS$1 trilion (RM4.19 trilion) menjelang tarikh akhir 5 November, Pengerusi Lembaga Robyn Denholm memberi amaran dalam sepucuk surat.

"Jika kita gagal memupuk persekitaran yang mendorong Elon mencapai perkara hebat melalui pelan gaji untuk prestasi yang saksama, kita berdepan risiko beliau melepaskan jawatan eksekutifnya dan Tesla mungkin kehilangan masa, bakat dan visinya, yang telah penting dalam memberikan pulangan yang luar biasa kepada pemegang saham,” demikian menurut surat itu pada Isnin.

Denholm juga menyatakan dalam surat itu yang tanpa Musk, Tesla boleh kehilangan nilai yang besar, kerana syarikat itu tidak lagi akan dinilai berdasarkan potensi masa depannya.

"Walaupun mungkin tiada masalah untuk menjadi sekadar syarikat kereta yang lain, Lembaga Pengarah kami percaya yang Tesla boleh menjadi lebih daripada itu, pemegang saham kami berhak mendapat lebih banyak, dan Elon adalah pemimpin yang tepat untuk membantu kami mencapai potensi penuh kami,” kata Denholm.

Pada September, lembaga pengarah mencadangkan pemberian lebih 423 juta saham biasa Tesla kepada Musk, mewakili 12 peratus daripada jumlah keseluruhan saham, tertakluk kepada syarikat mencapai 12 pencapaian yang ditetapkan, termasuk modal pasaran berjumlah AS$8.5 trilion (RM35.6 trilion) untuk tranche terakhir.

Ini bermakna untuk Musk menerima anugerah itu, nilai pasaran Tesla mesti meningkat sebanyak AS$7 trilion (RM29.3 trilion) lagi, memandangkan penilaian semasa syarikat adalah kira-kira AS$1.42 trilion (6 trilion) dan tidak lewat daripada 2035.

Jika syarikat mencapai semua pencapaian di bawah kepimpinan Musk, beliau berpotensi untuk meningkatkan pegangannya daripada kira-kira 13 peratus kepada kira-kira 25 peratus dalam pegangan saham firma pembuat kereta elektrik itu.

Pencapaian lain termasuk mencapai sasaran produk tertentu, seperti menghasilkan 20 juta kenderaan Tesla dan mempunyai sekurang-kurangnya sejuta Robotaxi Tesla dalam operasi komersial. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Elon Musk mungkin meninggalkan Tesla jika pemegang saham tidak meluluskan pakej gajinya yang bernilai hampir AS$1 trilion
  • Kehilangan Musk boleh menyebabkan Tesla kehilangan nilai besar kerana syarikat itu tidak lagi dinilai berdasarkan potensi masa depannya
  • Lembaga Pengarah Tesla percaya syarikat itu boleh menjadi lebih daripada sekadar pembuat kereta dan Elon adalah pemimpin yang tepat
  • Lembaga pengarah mencadangkan pemberian lebih 423 juta saham biasa kepada Musk, tertakluk kepada syarikat mencapai 12 pencapaian tertentu
  • Pencapaian itu termasuk mempunyai sekurang-kurangnya sejuta Robotaxi Tesla dalam operasi komersial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!