Kes buli terus berulang jika masalah sebenar tidak ditangani

TINDAKAN Majlis Amanah Rakyat (Mara) menggantung enam pelajar di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Melaka kerana terbabit dalam kes buli sekali lagi mengingatkan masyarakat bahawa isu disiplin di institusi berasrama penuh masih belum selesai.
Individu terbabit yang merupakan pelajar Tingkatan Lima bukan sahaja digantung serta-merta, malah dicadangkan untuk dibuang sekolah sepenuhnya.
Menurut Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, prinsip yang digunakan tegas iaitu ‘you touch, you go’.
Katanya, langkah itu adalah selaras dengan dasar sifar toleransi terhadap kes buli dan mana-mana pelajar yang didapati bersalah tidak akan diberikan peluang rayuan.
Mara memandang serius kes tersebut dan mengambil tindakan pantas selepas menerima laporan serta bukti kukuh.
Tindakan berkenaan bukan kali pertama diambil kerana sebelum ini tujuh pelajar MRSM di utara tanah air turut disyor untuk digantung dan kemudian dibuang sekolah dalam kes buli yang hampir serupa.
Persoalan yang timbul kini adalah walaupun tindakan keras telah dilaksanakan dan dasar sifar buli diumumkan, mengapa insiden seperti itu masih berlaku dalam kalangan pelajar institusi berprestij seperti MRSM?
Mara sebelum ini juga memaklumkan bahawa pelbagai pendekatan telah dilaksanakan termasuk ceramah motivasi, sesi kaunseling dan program pemantauan secara berkala.
Namun, kejadian di sebuah MRSM di Melaka seolah-olah menunjukkan bahawa langkah-langkah itu belum mencukupi.
Asyraf Wajdi turut memberi amaran bahawa tiada sesiapa harus melindungi pelaku walaupun atas alasan menjaga nama baik institusi.
Selain itu, pelajar yang dikenakan tindakan juga berdepan risiko masa depan terganggu, lebih-lebih lagi ketika mereka sedang menduduki tahun akhir persekolahan, tetapi tindakan tetap perlu diambil bagi memastikan mesej pencegahan benar-benar sampai.
Dalam masa sama, nasib pelajar yang menjadi mangsa perlu dibela susulan keselamatan fizikal dan emosi mereka wajar menjadi keutamaan, khususnya di peringkat sekolah berasrama yang memerlukan pemantauan rapi.
Tegas seperti mana sekalipun hukuman dilaksanakan, jika punca sebenar tidak ditangani secara menyeluruh, isu buli akan terus berulang.
Pendekatan pencegahan mesti diperhebat, bukan sekadar bertindak selepas kejadian berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
