KPDN Pulau Pinang lupus barang rampasan bernilai RM4.76 Juta

Jegan (tengah) melupuskan barang kes di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN Pulau Pinang pada Khamis.
Jegan (tengah) melupuskan barang kes di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN Pulau Pinang pada Khamis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah melupuskan barang rampasan bernilai RM4.76 juta yang membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, S Jegan berkata, pelupusan tersebut melibatkan barangan yang dirampas di bawah beberapa akta, termasuk Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Cap Dagangan 2019 serta Akta Pelindungan Pengguna 1999.

Menurutnya, antara barangan yang dilupuskan ialah pakaian, beg dan aksesori wanita berjenama tiruan, alat ganti kenderaan, produk makanan, produk penjagaan kesihatan serta peranti elektronik berjenama tiruan.

"Kesemua 81,049 unit barangan ini telah selesai menjalani proses pendakwaan dan pengkompaunan sebelum dilupuskan," katanya pada sidang akhbar Program Pelupusan Ekshibit Mega 2025 di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Jegan berkata, sepanjang tahun 2025, KPDN Pulau Pinang turut melaksanakan pelbagai aktiviti penguatkuasaan dan pemeriksaan melibatkan isu barang kawalan, kawalan harga, antipencatutan, pelanggaran hak harta intelek, sewa beli dan penipuan dalam talian.

Katanya, bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Oktober tahun ini, sebanyak 65,790 premis telah diperiksa, dengan 793 tindakan kes diambil membabitkan nilai rampasan sebanyak RM3,051,106.21.

Selain itu, sebanyak 625 kes telah dikompaun dengan nilai keseluruhan RM439,000, manakala dua kes dibawa ke mahkamah yang menyaksikan denda berjumlah RM16,000 dikenakan ke atas pihak terlibat.

"Berdasarkan tindakan pengkompaunan dan pendakwaan yang telah selesai, sebanyak 167 kes melibatkan barang sitaan telah dilupus dan dilucuthakkan sebagai hasil kerajaan, dengan kutipan sementara berjumlah RM382,427.01.

"Ini turut termasuk hasil jualan sisa melalui tender atau sebut harga bernilai RM20,100, hasil jualan barang kawalan sebanyak RM1,734,041.05 serta pemusnahan barang kes bernilai RM2,624,832.22," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!