China sangkal dakwaan perisik dalam skandal CEO Nvidia

Jensen Huang
Jensen Huang
A
A
A

 

BEIJING - Kementerian Luar China menolak dakwaan pengintipan melibatkan Beijing yang dikaitkan dengan skandal hubungan sulit Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, dengan jurucakap negara itu Guo Jiakun menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai rekaan dan berunsur fitnah pada Isnin.

Ketua syarikat pembuat cip gergasi Amerika Syarikat (AS) itu baru-baru ini mengakui pernah menjalin hubungan sulit, sekali gus mendorong Nvidia melancarkan siasatan dalaman, lapor agensi berita Jerman dpa.

Bagaimanapun, lembaga pengarah syarikat itu menyatakan buat masa ini tiada sebab untuk mempercayai bahawa rahsia perdagangan Nvidia atau keselamatan negara AS telah terjejas.

Beberapa saluran media sebelum ini melaporkan bahawa Huang berkemungkinan menjadi sasaran pengintipan asing kerana menjalin hubungan dengan seorang wanita yang disyaki oleh pihak keselamatan AS direkrut oleh perisikan China.

Akhbar milik kerajaan China, Global Times, turut menolak dakwaan berkenaan dan menyifatkan media AS sengaja mensensasikan kes itu menjadi skandal pengintipan hanya bersandarkan kepada beberapa keping gambar seorang wanita "berwajah Asia" serta usaha Nvidia untuk melonggarkan sekatan perdagangan terhadap China.

Nvidia merupakan pembekal utama cip kecerdasan buatan (AI) termaju di dunia. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!