Asap bunga api selubungi New Delhi, kualiti udara terjejas teruk

NEW DELHI – Pesta cahaya yang sepatutnya menerangi langit ibu negara India bertukar menjadi episod pencemaran udara apabila asap mercun dan bunga api menyelubungi New Delhi, sekali gus memburukkan krisis jerebu bermusim yang mengancam kesihatan lebih 30 juta penduduknya.
Seawal pagi Isnin, suasana di bandar raya itu diselubungi kabus asap tebal selepas penduduk meraikan Deepavali pada malam sebelumnya dengan menyalakan mercun dan bunga api, meskipun pihak berkuasa sudah mengenakan sekatan bagi mengawal pencemaran.
Asap yang dilepaskan daripada bahan letupan kecil itu bukan sahaja mencemarkan udara, malah meningkatkan kepekatan zarah halus yang boleh memasuki sistem pernafasan manusia.
Keadaan itu menyebabkan bacaan Indeks Kualiti Udara (AQI) melepasi 350 di beberapa kawasan di ibu negara berkenaan pada pagi Isnin, sekali gus dikategorikan pada tahap 'teruk' dan membawa risiko kesihatan yang ketara berdasarkan tahap pendedahan yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Deepavali atau Pesta Cahaya merupakan perayaan masyarakat Hindu yang disambut di seluruh India pada Ahad.
Namun, kemeriahan perayaan itu di New Delhi tetap diserikan dengan bunyi letupan mercun dan cahaya bunga api sepanjang malam, walaupun penggunaan bahan berkenaan tertakluk kepada sekatan mahkamah.
Bulan lalu, Mahkamah Agung India menetapkan langkah kawalan bagi mengurangkan pencemaran ketika Deepavali dengan hanya membenarkan penggunaan mercun hijau yang diluluskan, tertakluk kepada syarat tertentu dan tempoh tiga jam pada Sabtu serta Ahad.
Mercun hijau berkenaan menghasilkan pelepasan bahan pencemar yang lebih rendah berbanding mercun biasa, namun tidak bermakna ia bebas daripada pencemaran.
Bagaimanapun, masalah jerebu di New Delhi bukan berpunca daripada sambutan Deepavali semata-mata.
Malah, beberapa hari sebelum perayaan itu, pada Rabu lalu, tahap pencemaran udara toksik di bandar berkenaan sudah meningkat kepada lebih 30 kali ganda daripada had harian yang disyorkan WHO, berdasarkan data pemantauan kualiti udara.
New Delhi yang mempunyai kira-kira 30 juta penduduk itu secara konsisten disenaraikan antara ibu negara paling tercemar di dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
