Nenek bakar cucu 'hidup-hidup' kerana enggan serah telefon bimbit

Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun meninggal dunia selepas dibakar nenek sendiri.
Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun meninggal dunia selepas dibakar nenek sendiri.
A
A
A

DEPOK - Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Indonesia meninggal dunia selepas menjadi mangsa perbuatan kejam neneknya sendiri yang tergamak menyiram minyak tanah sebelum membakarnya hidup-hidup ketika kejadian menggemparkan pada akhir bulan lalu.

Mangsa dikenali sebagai LAZ yang mengalami kecederaan melecur sehingga 80 peratus pada tubuhnya berada dalam keadaan kritikal sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Fatmawati, Jakarta Selatan pada Ahad.

Dia sempat menerima rawatan intensif selama 13 hari sebelum meninggal dunia. Nenek mangsa, M yang berusia 69 tahun telah ditahan dan ditetapkan sebagai suspek dalam kes tersebut.

Pada Jumaat lalu, polis memaklumkan mangsa menunjukkan perkembangan positif, namun keadaannya masih belum stabil sepenuhnya.

Peguam keluarga mangsa, Ishaq Maulana Ismail berkata, LAZ memerlukan 10 beg darah jenis O untuk menjalani rawatan.

Selain pemindahan darah, pasukan perubatan Hospital Fatmawati turut melakukan pembedahan pada bahagian muka dan dada mangsa bagi membuang tisu kulit yang telah mati serta mengelakkan jangkitan.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran antara suspek dengan mangsa.

Pelaku dipercayai berang kerana mangsa tidak datang menjemputnya ketika berada di rumah seorang rakan menyebabkan wanita itu terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer untuk pulang.

Kemarahannya semakin memuncak sebaik tiba di rumah apabila mendapati mangsa sedang leka bermain telefon bimbit dan enggan menyerahkan peranti itu ketika cuba dirampas.

Artikel Berkaitan:

Pergaduhan mulut tersebut akhirnya bertukar menjadi tindakan ganas apabila M mengambil minyak tanah dari dapur sebelum menyiram bahan api itu ke atas skirt mangsa.

Ketua Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak (PPA) Polis Metro Depok, Iptu Tamar Bekti memaklumkan suspek pada awalnya memberikan keterangan yang berubah-ubah mengenai punca kejadian bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Pada mulanya, suspek mendakwa mangsa berada berhampiran dapur sebelum terbakar. Namun, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian membongkar kisah sebenar,” katanya.

Selepas disoal siasat lanjut, suspek akhirnya mengaku menyiram minyak tanah ke atas mangsa sebelum menyalakan api menggunakan pemetik api gas.

Suspek kini berdepan pertuduhan mengikut Artikel 44(2) Undang-Undang Nombor 23 Tahun 2004 berkaitan Keganasan Rumah Tangga dan Artikel 80(2) Undang-Undang Nombor 35 Tahun 2014 mengenai Perlindungan Kanak-Kanak. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!