Tekad sahut cabaran demi cita-cita bergelar anggota PASKAU

ROMPIN - Peluang diterima masuk sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ibarat batu loncatan dalam usaha merealisasikan impiannya untuk bergelar anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU), antara pasukan elit terbaik di negara ini.
Demi cita-cita yang tertanam sejak kecil, Leftenan Muda Mohammad Riduan Rahman (TUDM), 27 tekad menyahut cabaran lasak Kursus Asas PASKAU Siri 32/25 selama tiga bulan di Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT), Bukit Ibam, Rompin bermula 28 Julai lalu.
Berkat kesungguhan dan semangat kental, anak kelahiran Sandakan, Sabah ini berjaya mengharungi segala latihan yang mencabar itu.
"Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan latihan dengan jayanya dan lebih manis lagi telah dipilih sebagai pelatih terbaik pada kursus asas PASKAU kali ini," katanya.

Mohammad Riduan antara 22 anggota termasuk pegawai TUDM yang berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai anggota PASKAU serta dipakaikan Beret Biru PASKAU oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Kolonel Yang Dipertua TUDM.
Kursus Asas PASKAU Siri 32/25 mencatat sejarah tersendiri apabila Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris turut ditauliahkan sebagai anggota PASKAU selepas berjaya menamatkan latihan masing-masing.
Menurut Mohammad Riduan, minat mendalam terhadap pasukan berunifom terutama pasukan khas atau komando mendorongnya menyertai TUDM sejak lebih setahun lalu.
"Saya satu-satu dalam keluarga yang menyertai pasukan tentera dan keputusan ini demi minat dan cita-cita sejak kecil untuk menjadi pasukan khas itu.
"Masa kecil dulu saya suka melihat siaran langsung perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan di kaca televisyen terutama melibatkan pasukan tentera.
"Saya tertarik dan teruja bila perbarisan turut disertai pasukan khas berpakaian operasi mereka dan dari situlah timbul minat untuk menyertai pasukan elit TUDM ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kursus Asas PASKAU Siri 32/25 di Pantai Hiburan, Rompin, baru-baru ini.
Mohammad Riduan mengakui kejayaan menamatkan latihan berkenaan bukan sesuatu yang mudah.
"Hanya mereka yang benar-benar memiliki semangat kental dan disiplin tinggi layak menyarung Beret Biru PASKAU ini.
"Kursus ini benar-benar menguji kekuatan mental, fizikal dan daya tahan setiap peserta kerana kami perlu melepasi lima peringkat utama membabitkan peringkat kem iaitu penilaian asas ketahanan mental dan disiplin; peringkat hutan melibatkan penguasaan taktik pertempuran dalam persekitaran tropika dan peringkat jalan lasak sejauh 160 kilometer (km) iaitu ujian ketahanan jarak jauh serta kecekapan navigasi," katanya.
Tambah Mohammad Riduan lagi, dia dan peserta lain juga perlu mengharungi cabaran peringkat laut dan perairan merangkumi latihan operasi maritim dan serangan amfibia dan peringkat mendayung 120km serta 'Survival, Evasion, Resistance and Escape' (SERE) iaitu ujian bertahan, mengelak dan bertindak secara taktikal di bawah tekanan tinggi.
"Bagi saya secara peribadi, cabaran larian sejauh 160km sambil membawa beban berat (beg) benar-benar menuntut persediaan, kemampuan fizikal dan mental yang kuat," katanya.
Ringkasan AI
- Mohammad Riduan berjaya menjadi anggota PASKAU selepas menamatkan kursus asas dengan jayanya dan dipilih sebagai pelatih terbaik
- Kursus latihan mencabar mental dan fizikal melalui peringkat kem, hutan, jalan lasak, laut dan perairan serta 'Survival, Evasion, Resistance and Escape'
- Minat mendalam terhadap pasukan beruniform sejak kecil mendorong Riduan menyertai TUDM
- Ditauliahkan dan dipakaikan Beret Biru PASKAU oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
- Tengku Mahkota Pahang dan Panglima Tentera Udara turut ditauliahkan sebagai anggota PASKAU selepas menamatkan latihan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

