'Hari ini amat istimewa, lahirnya anggota PASKAU dalam kalangan keluarga diraja Pahang' - Al-Sultan Abdullah

Al-Sultan Abdullah menyempurnakan pemangkaian pangkat Mejar kepada anakanda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sempena Majlis Penutup Kursus Asas PASKAU Siri 32/25 di Pantai Hiburan, Kuala Rompin pada Ahad.
Al-Sultan Abdullah menyempurnakan pemangkaian pangkat Mejar kepada anakanda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sempena Majlis Penutup Kursus Asas PASKAU Siri 32/25 di Pantai Hiburan, Kuala Rompin pada Ahad.
A
A
A

ROMPIN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan perasaan teruja dan bangga apabila anakandanya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ditauliah sebagai anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) di sini pada Ahad.

Baginda menyifatkan hari tersebut sebagai detik yang amat istimewa kerana dapat menyaksikan sendiri lahirnya seorang anggota PASKAU daripada keluarga Istana Pahang.

“Hari ini amat istimewa bagi saya dan keluarga kerana dapat melihat dengan bangga lahirnya anggota PASKAU dalam kalangan keluarga diraja Pahang.

"Mudah-mudahan akan ada lagi PASKAU yang lahir daripada keluarga diraja negeri ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Jamuan Diraja selepas berangkat menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Asas PASKAU Siri 32/25 di Pantai Hiburan di sini pada Ahad.

Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Penglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Pada majlis itu, Al -Sultan Abdullah turut mengurnia dan memakaikan Beret Biru PASKAU kepada Tengku Mahkota Pahang dan Panglima Tentera Udara.

Artikel Berkaitan:

Al -Sultan Abdullah turut mengurnia dan memakaikan Beret Biru PASKAU Panglima Tentera Udara apabila turut ditauliahkan sebagai anggota PASKAU sempena Majlis Penutup Kursus Asas PASKAU Siri 32/25 di Pantai Hiburan,Kuala Rompin pada Ahad.
Al -Sultan Abdullah turut mengurnia dan memakaikan Beret Biru PASKAU Panglima Tentera Udara apabila turut ditauliahkan sebagai anggota PASKAU sempena Majlis Penutup Kursus Asas PASKAU Siri 32/25 di Pantai Hiburan,Kuala Rompin pada Ahad.

Turut dipakaikan beret biru kebanggaan itu satu pegawai dan 21 anggota lain-lain pangkat (LLP) TUDM yang berjaya menamatkan kursus tersebut.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Panglima Tentera Udara apabila turut ditauliahkan sebagai anggota PASKAU.

Dalam titahnya itu, Al-Sultan Abdullah turut berkongsi keterujaannya apabila berpeluang menyaksikan sendiri latihan terjunan para pelatih termasuk Tengku Mahkota Pahang yang diadakan di beberapa lokasi antaranya di Pangkalan Udara Gong Kedak, Kuala Terengganu.

“Sebagai seorang bapa, saya berdebar tetapi pada masa sama amat berbangga dan bersyukur pertama kali dapat melihat sendiri anakanda menjalani latihan terjunan.

"Ia satu pengalaman yang sangat berharga. Sebagai bapa saya begitu berdebar mengikuti proses terjunan dilalui Tengku Hassanal tapi penuh keyakinan dan bertuah kerana dapat melihat anak sendiri melakukan latihan terjunan itu," titah baginda.

Sementara itu, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua ibu bapa anggota PASKAU yang berjaya menamatkan latihan mencabar itu.

"Ibu bapa terlibat wajar berasa bangga serta bersyukur kerana anak-anak mereka kini menjadi sebahagian daripada pasukan elit negara," titah baginda.

Sementara itu, Muhamad Norazlan berkata, Tengku Mahkota Pahang berkenan menjalani latihan kepakaran PASKAU sejak Julai lalu meliputi pelbagai modul mencabar.

Menurutnya, latihan-latihan itu mencerminkan kecekapan dan keupayaan sebenar pasukan elit TUDM dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman.

"Kursus Asas PASKAU Siri 32/2025 bermula pada 28 Julai dan berakhir hari ini (Ahad) benar-benar menguji kekuatan mental, fizikal dan daya tahan setiap peserta.

"Daripada keseluruhan tiga pegawai dan 50 anggota LLP yang memulakan kursus, hanya satu pegawai dan 21 anggota berjaya menamatkan latihan dengan jayanya.

"Ini membuktikan bahawa hanya mereka yang benar-benar memiliki semangat kental dan disiplin tinggi layak menyarung Beret Biru PASKAU," katanya.

Ringkasan AI

  • Sultan Pahang bangga anakanda, Tengku Mahkota Pahang ditauliah sebagai anggota PASKAU
  • Hari penauliahan dianggap istimewa bagi keluarga diraja Pahang
  • Majlis penauliahan dihadiri oleh Sultan Pahang, Tengku Ampuan Pahang, Menteri Besar Pahang, dan penglima TUDM
  • Sultan menyaksikan sendiri latihan terjunan termasuk aktiviti anakandanya
  • Hanya satu pegawai dan 21 anggota LLP berjaya menamatkan kursus PASKAU yang mencerminkan tingginya tahap disiplin dan kekuatan mental

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!