Remaja maut, anggota tentera cedera motosikal bergesel

PORT DICKSON – Seorang remaja lelaki maut manakala seorang anggota tentera cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka bergesel di Kilometer 23.6 Lebuhraya Seremban–Port Dickson, pada Isnin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.45 pagi ketika mangsa berusia 19 tahun dan anggota tentera lelaki berusia 32 tahun dalam perjalanan dari arah Seremban ke Port Dickson.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kejadian itu melibatkan motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa, manakala motosikal SYM Sport Bonus SR ditunggang anggota tentera terbabit.
“Siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan dari arah Seremban ke Port Dickson.
“Namun, ketika tiba di lokasi kejadian, remaja itu dipercayai cuba memotong motosikal anggota tentera berkenaan, menyebabkan kedua-dua motosikal bergesel,” katanya pada Isnin.
Menurutnya, akibat pergeselan itu, kedua-duanya hilang kawalan lalu terbabas ke bahagian kiri jalan dan terjatuh ke dalam longkang.
Beliau berkata, remaja berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Port Dickson kira-kira jam 1.40 tengah hari.
“Anggota tentera terbabit pula mengalami kecederaan pada lutut dan tangan, dan telah menerima rawatan di Zon Kuning hospital sama.
“Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau menambah, usaha mengesan saksi bebas sedang giat dijalankan dan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Naim Syed Wahid di talian 014-5030810.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

