Syed Saddiq sahut cabaran RM1 juta demi Muar

LANGKAWI – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal beraksi dalam acara sukan lasak Ironman Malaysia 2025 di Pulau Langkawi, Sabtu ini, dengan misi peribadi membawa pulang sumbangan RM1 juta untuk kebajikan rakyat di kawasannya.
Bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 32 tahun itu menyahut cabaran yang dikemukakan oleh syarikat fesyen tempatan, Prima Valet (PV), yang berjanji akan menyumbangkan RM1 juta kepada penduduk Muar sekiranya beliau berjaya menamatkan perlumbaan dalam masa kurang 13 jam.
Ironman Malaysia merupakan antara perlumbaan paling mencabar melibatkan renangan sejauh 3.8 kilometer, kayuhan basikal 180 kilometer dan lari maraton 42.2 kilometer.
Dalam satu hantaran di laman Facebook dan TikTok miliknya pada malam Rabu, Syed Saddiq menegaskan bahawa penyertaan beliau bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya sebagai usaha membantu rakyat di kawasannya.
“Demi RM1 juta untuk Muar, saya sahut cabaran Boss @primavalet! Bring it on. 13 jam di Ironman Langkawi = RM1 juta untuk Muar. Satu pintu rezeki ditutup, 10 lagi dibuka. Alhamdulillah,” katanya.
Tindakan beliau turut disertai dengan video ringkas yang memaparkan tangkap layar cabaran PV di Instagram berbunyi: “Bos Prima Valet nak cabar @syedsaddiq. Kalau berjaya habiskan Ironman Langkawi dalam 13 jam, bos akan sumbangkan RM1 juta untuk Muar. Ada berani???”
Video tersebut turut memaparkan Syed Saddiq membotakkan kepala sambil berseloroh bahawa tindakan itu mampu menjimatkan tiga saat masa perlumbaan.
Pada edisi Ironman Malaysia tahun lalu, beliau menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 13 jam 13 minit, walaupun kehilangan kira-kira 30 minit akibat kemalangan terlanggar dahan pokok tumbang ketika berbasikal.
Acara tahun ini bakal menyaksikan penyertaan lebih 1,800 atlet dari 65 negara di pulau legenda itu.
Ringkasan AI
- Syed Saddiq akan berpartisipasi dalam Ironman Malaysia 2025 di Langkawi untuk kumpul sumbangan RM1 juta untuk Muar
- Prima Valet berjanji sumbang RM1 juta jika Syed Saddiq tamatkan lumba dalam kurang 13 jam
- Ironman Malaysia termasuk perlumbaan renang 3.8km, kayuhan basikal 180km, dan lari maraton 42.2km
- Syed Saddiq menegaskan penyertaannya bertujuan membantu rakyat di kawasannya, bukan kepentingan peribadi
- Tahun lalu, Syed Saddiq tamatkan perlumbaan dalam 13 jam 13 minit meskipun terlibat kemalangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

