Penyertaan Timor-Leste kukuhkan imej ASEAN sebagai blok inklusif

Collins Chong Yew Keat
Collins Chong Yew Keat
A
A
A

SHAH ALAM- Penyertaan secara rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 membuktikan ASEAN bukan sahaja institusi ekonomi dinamik tetapi juga inklusif dan menyeluruh dalam mendukung pembangunan negara kecil serta membangun di rantau ini.

Penganalisis Hubungan Antarabangsa, Strategi dan Keselamatan Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat berkata, kemasukan Timor-Leste juga memperkukuh naratif bahawa ASEAN komited merapatkan jurang pembangunan sebagaimana yang dilakukan untuk negara CLMV iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

Pada masa sama, beliau melihat ia membawa makna strategik besar terhadap landskap geopolitik rantau ini, terutama dalam konteks keseimbangan kuasa antara blok besar seperti China, Amerika Syarikat (AS) dan Australia di Indo-Pasifik.

“Langkah bersejarah ini turut memperkukuh konsep ‘ASEAN Centrality’ dengan memperluas ‘payung norma’ ASEAN seperti konsensus, tidak campur tangan dan diplomasi praktikal ke hujung timur Nusantara.

“Saya juga melihat kedudukan Timor-Leste di Laut Timor mengurangkan jurang geostrategik antara Indonesia (Nusa Tenggara) dan Australia. Ia menegaskan identiti geopolitik ASEAN dan memperkukuh peranan blok ini sebagai pengimbang kuasa besar di rantau Indo-Pasifik,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Collins, Timor-Leste yang mempunyai hubungan ekonomi dan infrastruktur kukuh dengan Beijing juga mendapat peluang baharu melalui mekanisme ASEAN yang lebih tersusun, sekali gus mengurangkan risiko kebergantungan dua hala yang tidak seimbang.

Selain itu, keanggotaan ASEAN membolehkan Dili memperluas akses ke institusi penting seperti ASEAN Economic Community (AEC), ASEAN Regional Forum (ARF) dan ADMM-Plus.

Jelasnya, ia secara tidak langsung meningkatkan nilai rundingan Timor-Leste dalam isu tenaga, perikanan, kabel dan koridor digital-maritim.

“Kehadiran Timor-Leste turut membawa nilai tambah kepada ASEAN dengan membawa jaringan Comunidade dos Países de Língua Portuguesa (CPLP) yang melibatkan Portugal, Brazil, Angola dan Mozambique.

Artikel Berkaitan:

“Ini satu nilai tambah dari segi diplomasi ekonomi dan pendidikan kerana ia membuka peluang baharu kepada ASEAN menjalin kerjasama Selatan-Selatan serta memperkukuh hubungan dengan negara berbahasa Portugis,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Collins berkata, Timor-Leste tetap berdepan cabaran besar sebagai ahli baharu, terutama dari segi ekonomi dan tadbir urus.

“Ketergantungan terhadap hasil minyak dan gas, ketidakstabilan fiskal, jurang pembangunan infrastruktur serta modal insan masih menjadi cabaran utama bagi Dili untuk melaksanakan komitmen ASEAN secara berkesan,” ujarnya.

Beliau menambah, pelaksanaan pelbagai perjanjian seperti AEC (Komuniti Ekonomi ASEAN) dan RCEP (Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau) menuntut keupayaan institusi yang mantap melibatkan sistem perundangan, pengawal selia dan data.

Justeru katanya, jurang fizikal dan digital juga perlu ditangani segera bagi memastikan kesalinghubungan antara Timor-Leste dan negara anggota lain dapat direalisasikan.

“Ini penting untuk mobiliti modal insan, perdagangan, pelaburan, pelancongan dan teknologi. Usaha memperkukuh kualiti pendidikan asas, kemahiran vokasional, literasi digital serta tadbir urus kesihatan dan perlindungan sosial juga perlu diberi tumpuan.

“Aset tidak nyata seperti tatakelola, sistem tadbir urus dan pembangunan kepercayaan institusi menjadi tulang belakang kepada hala tuju baharu Timor-Leste dalam ASEAN,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • Timor-Leste kini anggota ke-11 ASEAN, menegaskan organisasi itu inklusif dan mendukung pembangunan negara kecil
  • Kemasukan Timor-Leste meningkatkan naratif ASEAN dalam merapatkan jurang pembangunan dan memiliki makna strategik dalam keseimbangan kuasa geopolitik Indo-Pasifik
  • Timor-Leste mengurangkan jurang geostrategik di Indo-Pasifik dan memperkuat peranan ASEAN sebagai pengimbang kuasa besar
  • Keanggotaan ASEAN membuka peluang bagi Timor-Leste untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi dengan Beijing dan meningkatkan nilai rundingan di sektor penting
  • Walaupun memberi nilai tambah pada ASEAN, Timor-Leste berhadapan dengan cabaran ekonomi, infrastruktur, dan tadbir urus dalam melaksanakan komitmen ASEAN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!