MAHB jadikan Sidang Kemuncak ASEAN sebagai persediaan TMM 2026

KOTA BHARU - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melihat kelancaran urusan ketibaan dan keberangkatan pemimpin dunia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur sebagai batu loncatan penting menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pengalaman menguruskan kemasukan puluhan ketua negara serta delegasi rasmi menjadi latihan terbaik bagi memastikan sistem berjalan lancar.
“Alhamdulillah, perjalanan Sidang Kemuncak ASEAN kali ini lancar dan seluruh warga MAHB memberikan komitmen sepenuhnya. Kami jadikan acara bertaraf dunia ini sebagai permulaan kepada kesiapsiagaan untuk menerima lebih ramai pelancong antarabangsa untuk TMM 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program MYAirportCARES Lestari Seni Majlis Pemerkasaan dan Pemuliharaan Rebana Ubi Serta Sambutan Penerbangan Sulung Scoot dari Singapura ke Kota Bharu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini pada Ahad malam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Rosnan Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Sdn Bhd, Kamaruzzaman Razali.
Menurut beliau, MAHB akan terus menawarkan perkhidmatan bertaraf dunia, sejajar dengan imej Malaysia sebagai pintu masuk utama ke rantau ASEAN.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menandakan bermulanya siri mesyuarat peringkat tertinggi di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Majlis yang dihadiri para pemimpin, menteri dan delegasi ASEAN itu dimulakan dengan lagu ASEAN berjudul 'The ASEAN Way' dan ucapan perasmian oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Ringkasan AI
- MAHB melihat Sidang Kemuncak ASEAN sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026
- Kelancaran urusan ketibaan dan keberangkatan pemimpin dunia di Sidang Kemuncak ASEAN dianggap sebagai latihan penting
- Datuk Mohd Izani Ghani menyatakan pengalaman ini membantu memastikan sistem operasi MAHB berjalan lancar
- MAHB berkomitmen untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia, menjadikan Malaysia pintu masuk utama ke ASEAN
- Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

