Sektor e-dagang disasar jana pendapatan RM1.65 trilion tahun ini - Fuziah

Fuziah
Fuziah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan sektor e-dagang mencapai hasil pendapatan sebanyak RM1.65 trilion menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, sasaran itu mengambil kira kedudukan sektor berkenaan antara pemacu utama pertumbuhan digital Malaysia dan terus berkembang pesat sebagai industri strategik negara.

“Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hasil pendapatanm sektor e-dagang negara telah melepasi angka RM1 trilion pada tahun 2021 dengan nilai sebanyak RM1.037 trilion.

“Jumlah ini meningkat lagi dengan 8.7 peratus kepada RM1.127 trilion pada tahun 2022 dan seterusnya naik 5.1 peratus kepada RM1.184 trilion pada 2023,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) yang memintanya menyatakan garis panduan semasa yang diguna pakai dalam menentukan syarat kemasukan platform e-dagang asing ke pasaran Malaysia.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, dengan hasil pendapatan tinggi dalam sektor berkenaan, ia secara tidak langsung turut mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan memperluaskan pasaran kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohd Hasnizan mengenai usaha kerajaan untuk menangani kenaikan yuran yang dikenakan platform e-dagang bagi mengurangkan beban peniaga tempatan, Fuziah berkata, ketika ini ia dilaksanakan melalui proses rundingan memandangkan tiada punca kuasa atau undang-undang khusus mengenainya.

Kata Fuziah, beliau memahami masalah yang dihadapi peniaga tempatan terutama dalam penetapan kadar komisen yang dibuat oleh penyedia platform e-dagang terlibat.

“Dalam hal ini KPDN berpandangan perlu ada satu punca kuasa di mana ia boleh memberikan kementerian kuasa untuk intervensi. Pada waktu ini kita tidak ada punca kuasa untuk pengendali e-dagang tetapkan kadar. Namun, kita gunakan proses rundingan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, kerajaan ketika ini sedang melaksanakan kajian semula perundangan e-dagang untuk memastikan ekosistem sektor tersebut memberi keadilan kepada semua pihak.

Ringkasan AI

  • Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyasarkan sektor e-dagang mencapai hasil pendapatan RM1.65 trilion menjelang akhir tahun ini
  • Sektor e-dagang menjadi pemacu utama pertumbuhan digital Malaysia
  • Hasil pendapatan sektor e-dagang negara telah melepasi RM1 trilion pada tahun 2021
  • Pendapatan sektor meningkat lagi 8.7 peratus kepada RM1.127 trilion pada 2022 dan naik 5.1 peratus kepada RM1.184 trilion pada 2023
  • Kerajaan sedang kaji semula perundangan e-dagang untuk memastikan ekosistem sektor tersebut adil

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!