Penghantar makanan tak menang tangan

Muhammad Yusri
Muhammad Yusri
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, penghantar makanan memperoleh rezeki berganda apabila orang ramai beralih kepada pembelian barangan dan makanan secara online.

Penghantar makanan daripada Grab Food, Hafizuddin Salehuddin, 20, berkata, Perintah Kawalan Pergerakan itu membuatkan dirinya dan rakan-rakan lain tidak menang tangan membuat penghantaran berbanding hari-hari biasa.

Hafizuddin
Hafizuddin

Sebagai penghantar makanan separuh masa, Hafizuddin yang merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam berkata, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, dia hanya mendapat sekitar 10 pesanan sehari.

“Kini, saya mendapat maksimum 18 hingga 20 pesanan setiap hari,” katanya.

Walaupun rezeki memihak kepada penghantar makanan, Hafizuddin yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik tetap menitikberatkan soal keselamatan dan mematuhi setiap saranan yang diberikan oleh syarikatnya.

Muhammad Yusri Darsam, 35, daripada syarikat penghantar makanan yang sama berkata, dia memperoleh pendapatan lebih RM700 dalam tempoh seminggu Perintah Kawalan Pergerakan.

“Biasanya saya akan dapat RM100 bermula 11 pagi hingga 12 tengah malam. Berbeza ketika Perintah Kawalan Pergerakan, saya mendapat sekitar RM150 hingga RM200 dalam tempoh masa yang sama.

Artikel Berkaitan:

“Saya mendapat sekurang-kurangnya 20 hingga 25 pesanan sehari di sekitar Lembah Klang. Syarikat juga memberikan pelbagai insentif kepada kami,” katanya.

Dalam pada itu, penghantar makanan daripada Food Panda dikenali Aru, 28, pula bersyukur rezekinya tidak berkurang walaupun rakyat Malaysia terpaksa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

“Buat masa sekarang pesanan tidak banyak beza. Cumanya pada ketika ini ramai rider (penghantar makanan) berkurangan mungkin kerana risau dengan penularan Covid-19,” katanya.