Cuaca panas beri rezeki berganda buat peniaga tembikai

Abdul Muhaimi menunjukkan tembikai yang dijual di gerai buahnya.
Abdul Muhaimi menunjukkan tembikai yang dijual di gerai buahnya.
A
A
A

KOTA BHARU - Cuaca panas memberi limpahan rezeki kepada peniaga tembikai di sini apabila menerima permintaan tinggi daripada pelanggan.

Permintaan turut meningkat berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana ramai yang mengadakan majlis meraikan pertemuan keluarga.

Peniaga buah-buahan di Kampung Buluh Poh, Ketereh, Abdul Muhaimi Sulaiman, 27, berkata, dia menjual satu tan tembikai sehari sepanjang Ramadan sehingga kini.

Menurutnya, bekalan diambil dari Kuala Terengganu, Tok Bali, Pasir Putih dan beberapa negeri lain mengikut musim dan harga.

"Saya ambil bekalan tembikai lima tan setiap tiga hari kerana ramai pelanggan kini mencari buah ini," katanya ketika ditemui di kedainya pada Selasa.

Bapa kepada bayi berusia tujuh bulan itu memberitahu, ramai peminat tembikai hanya memilih gred A kerana rasanya enak, manis selain mengandungi banyak jus.

"Cuaca panas antara faktor mereka mahu menikmati tembikai selain untuk kenduri," katanya yang turut menjual beberapa jenis buah lain termasuk mempelam, buah naga, rambutan, durian, nenas dan anggur.

Sementara itu, penjual buah-buahan di Kampung Pauh Lima, Bachok, Noris Maznida Ibrahim, 42, mengakui tembikai kini mendapat permintaan tinggi berbanding buah-buahan lain di gerainya.

Noris Maznida melayan pelanggan di kedai buahnya di Kampung Pauh Lima, Bachok.
Noris Maznida melayan pelanggan di kedai buahnya di Kampung Pauh Lima, Bachok.

Katanya, menjelang Aidilfitri, dia sudah membuat persiapan dengan mengambil lebih banyak bekalan untuk pelanggan.

"Kebiasaannya perantau yang pulang ke kampung akan singgah membeli tembikai dan cuaca panas tahun ini menjadikan permintaan lebih tinggi," katanya.

Ibu kepada empat anak itu memberitahu, bekalan diambil dari beberapa negeri termasuk Kedah dan Johor bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Saya mengambil bekalan tembikai seminggu sekali antara lima hingga empat tan," katanya.

Dia yang sudah sepuluh tahun berniaga buah-buahan hanya memilih tembikai gred A yang menjadi pilihan pelanggan.

"Pelanggan memang tidak berkira harga kerana mereka memilih buah yang banyak jus dan manis," katanya.