Dewan Rakyat kecoh isu hidang arak di dewan SJKC

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat sesi petang pada Isnin kecoh apabila isu hidangan arak dalam majlis di dewan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dibangkitkan, mencetuskan pertikaman lidah antara beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Chow Yu Hui (PH-Raub) ketika membahaskan isu itu menegaskan, tindakan pihak sekolah membenarkan hidangan arak dalam majlis sosial bukan provokasi terhadap mana-mana agama, sebaliknya sebahagian daripada warisan budaya masyarakat Cina.
"Bagi masyarakat Cina, arak bukan sekadar minuman. Ia sebahagian daripada budaya, identiti dan cara mereka meraikan kehidupan secara harmoni.
"Dalam sastera klasik Cina, arak sering muncul sebagai simbol perayaan, persahabatan dan semangat,” katanya.
Raub turut menolak dakwaan majlis berkenaan bertujuan mengajar pelajar minum arak, sebaliknya ia diadakan di luar waktu persekolahan dan hanya melibatkan masyarakat dewasa bukan Islam.
"Adalah tidak wajar apabila ada pihak memutar belit fakta dan menuduh seolah-olah orang Cina mengajar pelajar minum arak,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) bangun mencelah dengan mempersoalkan kewajaran majlis sebegitu diadakan di kawasan sekolah.
"Kita hormati kalau itu sebahagian budaya. Tapi kenapa perlu diadakan di sekolah? Sedangkan boleh guna hotel atau dewan orang ramai. Sekolah tempat mendidik.
"Pandangan masyarakat apabila acara minum arak diadakan di sekolah itu satu perkara yang sangat tidak sopan. Boleh menimbulkan pelbagai persepsi. Pernah berlaku di sekolah berlaku pergaduhan kerana mabuk dan sebagainya," katanya.
Bagaimanapun celahan tersebut segera dibalas dengan tegas oleh Raub yang mempertahankan tindakan pihak sekolah, menyatakan bahawa banyak kampung tidak mempunyai kemudahan dewan besar selain dewan sekolah.
"Bukan semua tempat ada hotel mewah. Di kampung-kampung, hanya ada dewan sekolah Cina untuk majlis kutipan dana atau jamuan.
"Kalau sekolah Cina tak sopan, kenapa ramai orang hantar anak pergi sekolah Cina? Sila jawab," katanya.
Keadaan bertambah kecoh apabila Chong Zhemin (PH-Kampar) bangun menggunakan peraturan mesyuarat untuk menegur kenyataan Parit Buntar yang didakwa mengelirukan Dewan.
"Parit Buntar kata ada acara minum arak di sekolah. Itu tidak betul. Yang berlaku ialah majlis makan malam alumni di mana arak dihidangkan, bukan pesta arak.
"Saya mohon beliau tarik balik kenyataan itu,” katanya.
Namun Parit Buntar menafikan mengeluarkan kenyataan tersebut.
Pada masa sama, Timbalan Speaker menegaskan peraturan mesyuarat tidak membenarkan penjelasan lanjut dan meminta isu itu dibawa melalui usul rasmi.
"Ini sesi perbahasan, bukan masa untuk penjelasan. Kalau mahu, sila kemukakan usul,” katanya.
Raub kemudiannya menyambung hujah dengan menegaskan bahawa kenyataan Parit Buntar bukan sahaja tidak berasas tapi menimbulkan salah faham antara kaum dan agama.
Beliau turut mempertahankan bahawa SJKC sentiasa mengamalkan disiplin yang tinggi dan tidak pernah menjadikan arak sebagai aktiviti pelajar.
"Penyewaan dewan dengan hidangan alkohol hanya amalan budaya masyarakat bukan Islam dan cara mereka jana dana untuk sekolah, bukan isu moral seperti yang cuba digambarkan oleh sesetengah pihak.
"Saya ingin bertanya kepada semua, tradisi dan budaya ini telah wujud di sekolah Cina puluhan tahun, adakah mutu dan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah Cina merosot disebabkan amalan ini?" soalnya.
Ringkasan AI
- Sidang Dewan Rakyat menjadi kecoh berhubung isu hidangan arak di majlis di sekolah SJKC
- Arak merupakan sebahagian daripada budaya dan identiti masyarakat Cina
- Majlis yang menyajikan arak diadakan di luar waktu persekolahan dan hanya untuk masyarakat dewasa bukan Islam
- Mohd Misbahul Munir Masduki mempersoalkan kewajaran mengadakan majlis di sekolah berbanding tempat lain
- Chow Yu Hui membela tindakan sekolah, menyatakan dewan sekolah di kampung menjadi salah satu tempat untuk mengadakan majlis sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
