Larangan hidang arak: Masyarakat Cina tetap tidak bersetuju - Guan Eng

SHAH ALAM – Penasihat DAP, Lim Guan Eng mendakwa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Khamis berhubung larangan menghidangkan alkohol di semua kawasan sekolah termasuk dewan, mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Cina.
Beliau berkata, larangan itu dianggap keterlaluan dan tidak wajar kerana mencampuri urusan tradisi masyarakat yang telah diamalkan sejak merdeka tanpa sebarang masalah.
"Amalan tradisi membenarkan hidangan alkohol dalam majlis seperti perkahwinan Cina, jamuan tokong atau acara hiburan yang diadakan di dewan sekolah awam Cina di luar aktiviti sekolah dan tanpa penglibatan pelajar telah diteruskan tanpa gangguan sejak kemerdekaan pada tahun 1957.
"Walaupun Anwar menegaskan bahawa larangan alkohol itu bukan bertujuan untuk memaksakan nilai atau pandangan Islam dengan mengehadkan hak bukan Islam, sebaliknya bagi mengekalkan peranan sekolah sebagai institusi pendidikan untuk kanak-kanak, masyarakat Cina tetap tidak bersetuju," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Guan Eng, sekolah rendah Cina sememangnya terkenal sebagai institusi pendidikan yang cemerlang.
"Para pelajarnya tidak pernah terdedah kepada alkohol dan terbukti memiliki akhlak serta nilai moral yang baik.
"Malah, jumlah kes rogol, liwat atau penderaan seksual terhadap kanak-kanak di sekolah Cina adalah sangat rendah, jika ada sekalipun, berbanding sekolah lain.
"Rasa tidak puas hati masyarakat Cina berpunca daripada persoalan mengapa Anwar memilih untuk tunduk kepada tekanan golongan ekstremis dan rasis dengan mencampuri serta mengganggu satu amalan tradisi yang tidak pernah menimbulkan kontroversi atau memberi kesan negatif kepada masyarakat Islam," ujarnya.
Guan Eng berkata, ketika Pas menjadi kerajaan, parti itu tidak pernah campur tangan dalam urusan sekolah rendah Cina dan aktiviti seumpama itu terus dijalankan tanpa gangguan di dewan sekolah Cina.
"Lebih jauh lagi, timbul persoalan di manakah had sekatan ini akan berakhir? Adakah selepas alkohol, sasaran seterusnya ialah daging babi?
"Memandangkan daging babi diharamkan di institusi kerajaan, adakah sekolah rendah Cina juga akan dilarang menghidangkannya dalam majlis tradisi seperti perkahwinan, jamuan tokong dan acara hiburan?" katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memahami kebimbangan masyarakat Cina ini dan telah mengambil inisiatif untuk berunding dengan Perdana Menteri bagi mencari penyelesaian yang boleh diterima semua pihak, supaya masyarakat Cina dapat meneruskan amalan tradisi dan budaya mereka di dewan sekolah rendah Cina.
"Sebelum ini, Loke (Anthony) juga telah berjaya memastikan semua pelajar cemerlang SPM mendapat tempat dalam program matrikulasi dan setiap pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diterima masuk ke kursus pilihan mereka di universiti awam," katanya.
Ringkasan AI
- Penasihat DAP, Lim Guan Eng mendakwa kenyataan Anwar Ibrahim tentang larangan alkohol di sekolah mencetuskan ketidakpuasan masyarakat Cina
- Larangan itu dianggap mencampuri tradisi masyarakat Cina yang telah lama diamalkan
- Masyarakat Cina melihat sekolah mereka sebagai institusi pendidikan cemerlang dan tidak pernah ada masalah akhlak terkait alkohol
- Guan Eng mempersoalkan kenapa Anwar memilih tunduk kepada tekanan ekstremis dengan mengganggu amalan tradisi
- Anthony Loke telah mengambil inisiatif untuk berunding dengan Anwar bagi mencari penyelesaian yang menerima pakai amalan tradisi dan budaya masyarakat Cina
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
