Arak tak perlu masuk ke sekolah!

TANPA menafikan hak bahawa orang bukan Islam bebas untuk minum arak selagi ia tidak melanggar peruntukan undang-undang negara.
Undang-undang di Malaysia hanya menetapkan umur minimum untuk membeli dan minum alkohol adalah berusia 21 tahun ke atas.
Penjual alkohol juga perlu mempunyai lesen dan mematuhi peraturan lain, termasuk cukai yang dikenakan ke atas minuman keras.
Selain itu, had sah memandu di bawah pengaruh alkohol, iaitu 22 mikrogram alkohol per 100 mililiter untuk nafas, 50 miligram per 100 mililiter dalam darah, atau 67 mikrogram per 100 mililiter bagi air kencing.
Bagi mereka yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol hukuman yang dikenakan bagi kesalahan pertama (menyebabkan kecederaan) ialah penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000.
Sementara kesalahan pertama (menyebabkan kematian) penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun, serta denda minimum RM50,000 sehingga RM100,000.
Kesalahan kedua dan seterusnya ialah hukuman penjara yang lebih berat, denda yang lebih tinggi dan penggantungan lesen memandu yang lebih lama.
Walaupun hukuman yang berat dikenakan tetapi kes-kes kemalangan jalan raya berpunca daripada pengaruh alkohol terus berlaku dan lebih menyedihkan ia menyebabkan kematian insan yang tidak berdosa.
Cuma yang menjadi isu baru-baru ini ialah gesaan Ahli Parlimen Pas, Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) di Dewan Rakyat, supaya MAS berhenti menghidangkan alkohol dalam penerbangan, dengan alasan pramugari dan pelanggan beragama Islam berada dalam dilema yang tidak selesa disebabkan perkara itu.
Ini bukanlah kali pertama Pas membuat gesaan, malah sudah menjadi satu rutin bagi parti itu membangkitkan hal sedemikian dalam Parlimen, malah mereka juga pernah membangkitkan tentang pakaian pramugari MAS yang mencolok mata.
Bagaimanapun, perkara itu tidak disenangi oleh seorang ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang menyindir dan menyarankan agar pemimpin Pas itu menubuhkan syarikat penerbangan sendiri.
Sepatutnya Lip Eng tidak melatah dengan gesaan tersebut kerana memang itulah perjuangan Pas sejak sekian lama.
Sudah tentu penyokong-penyokong Lip Eng, akan bergembira dengan ketegasan beliau mematahkan hujah Mohd Hasnizan, tetapi beliau juga harus ingat ramai juga yang kurang senang dengan perkara itu.
Sebaiknya Lip Eng tidak perlu menyentuh tentang perkara yang menjadi sensitif bagi orang Islam dan beliau boleh sahaja guna perumpamaan lain yang lebih baik.
Malah beliau juga tahu dan sedar, Pas memang seronok kalau ada yang melatah dan menari ikut gendang yang dipalu yang akhirnya berjaya masuk perangkap.
Mana-mana pihak termasuk Lip Eng janganlah tidak tersalah anggap bahawa tulisan ini memihak kepada sesiapapun atau parti, tetapi hanyalah sebagai satu nasihat sahaja.
Seandainya gesaan yang sama berlaku lagi, cara paling baik ialah meminta Pas supaya melaksanakan larangan jual arak dalam pesawat MAS apabila mereka menjadi kerajaan pada masa akan datang.
Jadi untuk berlaku adil kepada Lip Eng, tulisan ini juga menasihati Ahli Parlimen Pas terutama yang sering guna isu agama dan kaum ketika berbahas di Parlimen.
Ramai juga yang kurang senang dengan isu yang dibawa dan Pas juga berisiko besar tidak dapat undi golongan terbabit, tetapi Pas tidak terlalu ambil berat pun soal tersebut.
Situasi ini samalah seperti peribahasa, yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang, bermaksud kalah menang sama sahaja bagi kedua-dua pihak yang berkelahi.
Namun sebagai ahli Parlimen yang beragama Islam, memang sudah menjadi kewajipan mereka untuk menyampaikan nasihat dan teguran.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dalam Parlimen pada Khamis melarang penyediaan arak di dewan sekolah awam yang disewa oleh pihak luar untuk sebarang majlis dan juga mana-mana majlis-majlis yang ada penglibatan kerajaan.
Kenyataan beliau jelas dan tidak menyentuh pun larangan itu terhadap penyewaan dewan di sekolah-sekolah Cina swasta.
Pada Jumaat, Jemaah Menteri memutuskan garis panduan serta amalan sedia ada mengenai penganjuran acara khusus di sekolah Cina yang menghidangkan minuman alkohol masih terpakai.
Tetapi yang tidak enaknya, kenyataan terbaru Ahli Parlimen DAP, Lim Guan Eng pula tambah panaskan suasana dengan mengatakan Anwar sudah jolok sarang tebuan.
Bersungguh-sungguh benar nampaknya mereka mempertahankan isu arak ini dan bagi kalangan orang Melayu Islam memang rasa tidak selesa serta kurang senang dengan reaksi berlebihan ini.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
