Arak di sekolah: Garis panduan sedia ada terpakai, tiada perubahan - Fahmi

Fahmi ketika sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi pada Jumaat. - Foto Bernama
Fahmi ketika sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri memutuskan bahawa amalan dan garis panduan sedia ada kekal terpakai berhubung penyajian minuman beralkohol dalam sebarang penganjuran acara di dewan sekolah.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tiada sebarang perubahan terhadap garis panduan sedia ada.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan kandungan garis panduan tersebut.

“Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, isu berkaitan sekolah dan penganjuran acara yang menyediakan atau menyajikan minuman beralkohol telah dibincangkan.

“Jemaah Menteri diingatkan dan telah memutuskan bahawa garis panduan serta amalan sedia ada kekal terpakai tanpa sebarang perubahan.

“Mungkin terdapat laporan di beberapa media mengenai perkara ini, namun Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan kenyataan susulan. Saya minta rakan-rakan media merujuk kepada Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis membidas penganjuran pesta arak di kawasan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Ipoh pada 27 September lalu dan menegaskan di Dewan Rakyat bahawa keutamaan adalah memastikan minuman beralkohol tidak dihidangkan di kawasan sekolah.

Beliau berkata, langkah itu bukan bertujuan menyekat hak masyarakat bukan Islam tetapi bagi memartabatkan sekolah sebagai institusi pendidikan untuk kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan Anwar itu menerima pelbagai reaksi, termasuk daripada pemimpin politik seperti Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mendakwa garis panduan tersebut tidak terpakai di sekolah jenis kebangsaan Cina, Fahmi menegaskan bahawa keputusan tetap merujuk kepada garis panduan sedia ada.

“Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa bagi sesetengah sekolah jenis kebangsaan Cina, ada yang menerima bantuan penuh, manakala beberapa fasiliti pula dibangunkan dan diselenggara oleh Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) atau pihak swasta.

“Jadi, terdapat perkara tertentu yang terpakai khusus kepada sekolah jenis kebangsaan Cina dan untuk penjelasan lanjut, kenyataan rasmi daripada Kementerian Pendidikan akan dikeluarkan selepas sidang akhbar ini,” katanya.

Ringkasan AI

  • Jemaah Menteri memutuskan garis panduan sedia ada tentang penyajian minuman beralkohol di dewan sekolah kekal tanpa perubahan
  • Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mengesahkan tiada perubahan pada garis panduan tersebut
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan keutamaan adalah memastikan minuman beralkohol tidak dihidangkan di kawasan sekolah
  • Kenyataan Anwar Ibrahim menerima pelbagai reaksi dari pemimpin politik
  • Garis panduan sedia ada turut merujuk kepada sekolah jenis kebangsaan Cina dengan penjelasan khusus dari Kementerian Pendidikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!