KPM disaran keluarkan kenyataan dan arahan menyeluruh isu arak di sekolah - Pemuda UMNO Pahang

Mustaqim
Mustaqim
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Pendidikan (KPM) disaran segera mengeluarkan kenyataan rasmi dan arahan menyeluruh berhubung isu hidangan arak di premis sekolah baru-baru ini.

Ketua penerangan Pemuda UMNO Pahang, Mustaqim Zakaria menegaskan, langkah itu penting bagi menegakkan maruah institusi pendidikan dan menutup ruang kepada sebarang tafsiran longgar yang boleh menjejaskan imej sekolah sebagai pusat pembentukan akhlak serta jati diri pelajar.

"Isu ini bukan sekadar soal moral, tetapi menyentuh akar nilai dan adab yang membentuk peradaban bangsa.

"Sekolah ialah tempat mencambah ilmu, membina akhlak dan memperkukuh jati diri pelajar bukan pentas untuk menormalisasi budaya keraian yang meminggirkan nilai kesopanan dan tatatertib," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sekolah mesti kekal sebagai kawasan yang bebas daripada segala perkara negatif sama ada melibatkan alkohol, perjudian atau sebarang bentuk hiburan tidak bermoral.

Menurutnya, sekolah seharusnya menjadi tempat menunjukkan teladan yang baik, medan membentuk akhlak dan wadah untuk mendidik masyarakat tentang nilai murni.

Mustaqim menambah, penting mencegah perilaku tidak bermoral sejak di peringkat akar umbi.

"Kita berpandangan sebarang bentuk penganjuran majlis yang melibatkan alkohol di kawasan sekolah, termasuk dewan yang disewa, jelas bertentangan dengan roh pendidikan nasional," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pemuda UMNO Pahang turut mengecam keras mana-mana pihak yang cuba mempertahankan tindakan ini atas alasan hak komuniti, kebebasan berbudaya atau tujuan kebajikan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kebebasan yang tidak berpaksikan akhlak bukan tanda kemajuan, tetapi lambang longgarnya nilai dan hilangnya pedoman.

"Kepelbagaian budaya perlu diraikan dalam kerangka undang-undang dan adab, bukan dijadikan alasan untuk menormalisasi perkara yang jelas bertentangan dengan nilai sejagat dan moral bangsa," katanya.

Mustaqim menegaskan pendidikan adalah benteng moral negara dan ia mesti bebas daripada pengaruh yang boleh menghakis disiplin, maruah, dan tatasusila masyarakat.

Menurutnya, anak-anak yang menuntut ilmu perlu dilindungi daripada sebarang unsur yang boleh mencemarkan fikiran dan merosakkan budi.

"Sekolah bukan tempat untuk meneguk budaya yang memabukkan, tetapi tempat untuk menegakkan nilai yang menyedarkan.

"Maka menjadi tanggungjawab bersama kerajaan, masyarakat dan institusi untuk memastikan roh pendidikan kekal bersih, beradab serta bermaruah," katanya.

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan disaran mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu hidangan arak di sekolah
  • Mustaqim Zakaria menekankan pentingnya menjaga maruah institusi pendidikan
  • Sekolah dilihat sebagai tempat membina akhlak dan jati diri, bukan untuk menormalisasi budaya keraian yang negatif
  • Pemuda UMNO Pahang mengecam mana-mana pihak yang mempertahankan tindakan hidangan arak atas alasan hak komuniti
  • Pendidikan ditegaskan sebagai benteng moral yang harus bebas dari pengaruh negatif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!