MAA sambut angin pembaharuan dengan kepimpinan dan visi segar

Dari kiri, Abdul Sani, Hassan Alsagoff, Diana Boo dan Claudian Navin Stanislaus
Dari kiri, Abdul Sani, Hassan Alsagoff, Diana Boo dan Claudian Navin Stanislaus
A
A
A

PERSATUAN Pengiklan Malaysia (MAA) menyambut era pembaharuan dengan pelantikan kepimpinan baharu dan visi kolektif untuk mengukuhkan peranan pengiklan dalam landskap perniagaan Malaysia yang semakin berkembang.

Pembaharuan tersebut menyaksikan Ketua Kesetiaan & Pemasaran Serantau Grab, Hassan Alsagoff dilantik Naib Presiden untuk penggal 2025-2026.

Turut dilantik sebagai ahli majlis baharu, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan RHB, Abdul Sani Abdul Murad dan Ketua Pegawai Pemasaran Boost, Diana Boo.

Menurut Hassan, untuk masa yang lama, MAA dibentuk terutamanya oleh industri barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) tetapi industri pengiklanan telah berubah.

“Dengan syarikat teknologi kini menyumbang kepada perbelanjaan pengiklanan dengan ketara, mencecah kira-kira RM6.1 bilion pada 2024, adalah penting untuk kami mengambil kira perspektif mereka.

“Pelantikan saya sebagai Naib Presiden mencerminkan peralihan ini dan saya komited untuk membantu MAA membina hubungan lebih kukuh antara para pengiklan dan platform teknologi sambil menyediakan generasi pemasar seterusnya untuk apa yang bakal datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Pelantikan ketiga-tiganya, mencerminkan komitmen MAA meluaskan perwakilan dan membawa perspektif yang pelbagai kepada kepimpinan persatuan sekali gus menandakan fokus yang digiatkan semula pada kerjasama, keterangkuman dan kesediaan masa hadapan untuk industri ini.

Dalam kapasitinya sebagai Naib Presiden, Hassan juga akan terus memimpin jawatankuasa Rakan Kongsi Teknologi di bawah tonggak Penglibatan, mengukuhkan kerjasama antara para pengiklan dan platform teknologi.

Sejak menyertai Grab pada 2019, Hassan telah dinaikkan pangkat ke peranan serantau yang menyelia kesetiaan dan pemasaran dengan kepakaran dalam inovasi digital dan penglibatan pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Dwi pandangan ini membolehkan beliau untuk membantu MAA menghubungkan para pengiklan dengan platform dan penyelesaian yang baharu muncul.

Sementara itu, berbekal pengalaman luas dalam pemasaran, Abdul Sani membawa pandangan industri yang melengkapkan kepakaran yang pelbagai dalam Majlis MAA.

Penyertaan beliau menyumbang kepada perwakilan yang lebih luas merentas sektor-sektor dalam komuniti pengiklanan Malaysia.

"Industri pengiklanan kini berada pada persimpangan kritikal di mana suara yang pelbagai perlu didengari. Saya berharap untuk membawa perspektif yang berbeza dan menyumbang kepada pembentukan MAA yang lebih inklusif dan berkesan.

"Setelah bertahun berkecimpung dalam pelbagai aspek pemasaran, saya percaya setiap industri membawa pandangan unik yang boleh mengukuhkan cara kami berhubung dengan khalayak.

“Saya berharap dapat menyumbang pengalaman ini ke arah usaha MAA dalam membina landskap pengiklanan yang lebih relevan dan bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Diana pula telah memacu pertumbuhan Boost sebagai jenama fintech dan bank digital tempatan terkemuka, memperkenalkan penyelesaian perbankan digital yang inovatif dan terbenam yang selari dengan ekonomi tanpa tunai Malaysia yang sedang berkembang pesat.

Pelantikannya menyerlahkan peningkatan pengaruh syarikat yang mengutamakan digital dalam pengiklanan dan kepentingan perspektif mereka dalam persatuan.

“Ia adalah penting bahawa syarikat yang mengutamakan digital dapat mengambil bahagian dalam perbualan ini sambil industri pengiklanan berkembang.

“Saya teruja untuk menyertai Majlis ini dan bekerjasama dengan rakan industri untuk memastikan inovasi dan keterangkuman berjalan seiring,” katanya.

Pada masa sama, Presiden MAA, Claudian Navin Stanislaus mengalu-alukan pelantikan baharu ini sebagai pembaharuan kepimpinan dan hala tuju Majlis yang berlaku tepat pada masanya:

“Hassan, Sani dan Diana masing-masing membawa perspektif unik yang mencerminkan kepelbagaian dan momentum industri.

"Kepimpinan mereka adalah penting tatkala kami bekerjasama untuk memastikan MAA terus relevan sebagai suara untuk sebuah industri yang sentiasa berubah.

“Bagi kami, kepimpinan bukan tentang berpaut pada masa lalu sambil mengangguk dengan sopan pada masa hadapan. Ia adalah mengenai penyerahan tampuk yang beramanah, dan jaminan bahawa pengalaman akan sentiasa menyokong... tetapi bukan untuk mengekang," katanya.

Menurut beliau, terlalu kerap tenaga dibazirkan untuk mengekalkan status quo manakala dunia di luar berputar.

"Sebaliknya ia mesti disalurkan untuk memperkasakan suara baharu untuk memimpin, supaya persatuan kekal setia kepada ahli kami, industri dan negara,” katanya.

Tidak ketinggalan, MAA juga telah meneroka kemungkinan menganjurkan acara perkongsian pandangan dengan kerjasama rakan kongsi teknologi global bertujuan menyampaikan data dan penemuan tersuai untuk memanfaatkan pemasar.

Walaubagaimanapun, dengan pemberhentian berskala besar dalam sektor teknologi dan kelesuan acara yang semakin meningkat dalam industri pemasaran rancangan itu telah dibatalkan.

Sebagai tindak balas, persatuan ini sedang berubah ke arah menghasilkan kandungan digital yang menyampaikan cerapan dalam format yang boleh diakses memastikan ahli-ahli dimaklumkan tanpa menambah beban kerja mereka.

Satu lagi bidang tumpuan adalah melibatkan pemain teknologi yang lebih kecil, kebanyakannya yang menghadapi cabaran yang lebih besar untuk mendapatkan keterlihatan dan membina hubungan dalam industri.

MAA sedang meneroka cara untuk merapatkan jurang ini melalui pelbagai inisiatif baharu yang akan memberikan syarikat-syarikat ini akses kepada rangkaian dan peluang yang lebih besar, memastikan perspektif mereka turut diwakili dalam pembentukan masa hadapan pengiklanan.

MAA juga sedang menguatkan hubungannya dengan institut-institut pengajian tinggi, menyedari kepentingan kelengkapan pengetahuan akademik dengan pandangan dunia sebenar untuk menyediakan generasi pemasar akan datang dengan lebih baik untuk menyertai tenaga kerja.

"Kami percaya peralihan ini akan memberi manfaat kepada semua pemasar terutamanya pemain lebih kecil yang sering menghadapi cabaran yang lebih besar dalam mendapatkan keterlihatan dan akses.

“Dengan memberi tumpuan kepada kandungan digital dan inisiatif-inisiatif baharu, MAA boleh memberikan sokongan yang lebih inklusif dan memastikan setiap orang mempunyai suara dalam pembentukan industri ini," kata Hassan.

Gabungan kepimpinan baharu, kehadiran digital yang diperbaharui dan misi yang tertumpu menandakan lembaran baharu untuk MAA.

Dengan meluaskan perwakilan dalam Majlis tersebut, memodenkan platform dan memberi tumpuan kepada inisiatif-inisiatif yang menyokong para pemain industri dan bakat masa hadapan, MAA menegaskan semula peranannya sebagai suara penyatuan untuk para pengiklan dan penggerak untuk perubahan positif dalam landskap pengiklanan Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!