'Tauliah mengajar bukan sekadar lesen' - Pengerusi MAIS

Salehuddin Saidin
Salehuddin Saidin
A
A
A

SHAH ALAM – Tauliah mengajar bukan sekadar lesen untuk menyampaikan ilmu, sebaliknya menjadi lambang amanah dan benteng utama dalam memastikan kesucian ajaran Islam terus terpelihara daripada sebarang penyelewengan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin, menegaskan bahawa setiap Pemegang Tauliah Mengajar di negeri ini memikul tanggungjawab besar untuk memastikan penyampaian ilmu agama sentiasa berpaksikan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta bebas daripada pengaruh ajaran songsang.

“Tauliah ini bukan hanya mengiktiraf kelayakan seseorang untuk menyampaikan ilmu agama, tetapi turut menuntut keikhlasan, disiplin dan integriti dalam berdakwah kepada masyarakat.

"Amanah ini mesti dijaga kerana ia menjadi benteng kepada kesejahteraan akidah umat Islam di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2025 yang diadakan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama MAIS.

Majlis berprestij itu menghimpunkan hampir 400 Pemegang Tauliah Mengajar dari seluruh negeri bagi memperkukuh kefahaman terhadap isu-isu semasa berkaitan fatwa dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.

Acara kemuncak ijtimak menyaksikan penyampaian Anugerah Tokoh Pendakwah Negeri Selangor 2025 oleh Salehuddin (tiga dari kanan) kepada Ahmad Zaki Arsad (tiga dari kiri)
Acara kemuncak ijtimak menyaksikan penyampaian Anugerah Tokoh Pendakwah Negeri Selangor 2025 oleh Salehuddin (tiga dari kanan) kepada Ahmad Zaki Arsad (tiga dari kiri)

Turut hadir, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir; Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah serta Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Datuk Salehuddin turut memaklumkan bahawa seramai 5,572 penceramah di seluruh negeri kini diperakui sebagai Pemegang Tauliah Mengajar melalui sistem digital e-Tauliaḥ, yang memperlihatkan jaringan besar pendakwah sah dan diyakini masyarakat.

Katanya, bagi memastikan golongan pendakwah ini terus profesional dan relevan, MAIS bersama JAIS telah memperkenalkan Modul Pengukuhan dan Profesionalisme Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor, yang akan mula dilaksanakan pada tahun 2026.

“Modul ini memberi penekanan terhadap aspek akidah, fiqh, tasawuf, ajaran sesat semasa, kemahiran al-Quran serta pematuhan kepada peraturan tauliah. Ia merupakan satu pendekatan sistematik untuk memperkukuh kompetensi pendakwah di negeri ini,” jelasnya.

Majlis turut diserikan dengan segmen Bicara Tauliah oleh Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta sesi Bicara Fatwa Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menampilkan Datuk Dr Muhammad Ayman Al-Akiti dan Dr Abdullaah Jalil dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Acara kemuncak ijtimak menyaksikan penyampaian Anugerah Tokoh Pendakwah Negeri Selangor 2025 kepada Ahmad Zaki Arsad dan Rohiyah @ Zainab Taib sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam memartabatkan dakwah Islamiah di negeri ini.

Ringkasan AI

  • Tauliah mengajar adalah lambang amanah dan penting dalam memastikan kesucian ajaran Islam
  • Pemegang Tauliah Mengajar di Selangor bertanggungjawab memastikan penyampaian ilmu agama berpaksikan Ahli Sunnah Wal Jamaah
  • Majlis Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2025 menghimpunkan hampir 400 pemegang tauliah
  • Seramai 5,572 penceramah di Selangor diperakui sebagai Pemegang Tauliah Mengajar melalui sistem digital e-Tauliah
  • Modul Pengukuhan dan Profesionalisme Pemegang Tauliah Mengajar akan dilaksanakan pada tahun 2026 untuk memperkukuh kompetensi pendakwah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!