Bekas peneroka Sungai Buaya terima pampasan RM74.2 Juta

Bandar Sungai Buaya kini bersedia melangkah ke fasa baharu pembangunan.

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM – Penantian lebih tiga dekad akhirnya berakhir apabila seramai 363 bekas peneroka Felda Sungai Buaya menerima pampasan bernilai RM74.2 juta yang tertangguh sejak tahun 1994.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penyelesaian penuh pampasan tersebut telah diselesaikan bulan lalu oleh Murna Jaya Development (MJD) Berhad sekali gus menutup kemelut panjang yang membelenggu para peneroka kawasan itu sejak sekian lama.

“Perjalanan ini panjang dan penuh liku kerana mereka menunggu sejak usia muda, kini sudah mencecah lebih 80 tahun.

“Ada juga yang telah tiada, namun perjuangan mereka tidak dilupakan. Kini keadilan yang tertangguh akhirnya ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, kejayaan itu merupakan hasil kesungguhan dan ketelusan usaha kerajaan negeri sejak 2018, dengan kerjasama MJD, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Penyelaras Parlimen Hulu Selangor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali.

“Kita pastikan setiap peneroka mendapat hak yang sepatutnya kerana ini bukan sekadar bayaran pampasan, tetapi pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan mereka yang membangunkan tanah ini,” katanya.

Amirudin berkata, dengan berakhirnya isu berlarutan itu, Bandar Sungai Buaya kini bersedia melangkah ke fasa baharu pembangunan.

Katanya, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada perancangan pengezonan, penyediaan kemudahan awam dan tapak ibadat bagi memastikan pembangunan kawasan itu berkembang secara seimbang antara kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

“Inilah erti sebenar perjuangan untuk rakyat. Kita bukan mahu tayang angka dan kejayaan semata-mata, tetapi maruah, keadilan dan harapan mereka juga akan terus kita bela,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Penantian lebih tiga dekad bekas peneroka Felda Sungai Buaya menerima pampasan RM74.2 juta
  • Pampasan diselesaikan bulan lalu oleh Murna Jaya Development Berhad, menutup kemelut panjang
  • Bekas peneroka menunggu sejak usia muda, kini sudah berusia lebih 80 tahun, ada juga yang telah tiada
  • Kesungguhan dan ketelusan usaha kerajaan negeri sejak 2018 dengan kerjasama pelbagai pihak berjaya menyelesaikan pampasan
  • Bandar Sungai Buaya bersedia melangkah ke fasa baharu pembangunan dengan tumpuan pada pengezonan dan penyediaan kemudahan awam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!