APSS kesan pelancong asing berisiko tinggi sebelum tiba di Malaysia

Shamsul Anuar ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Shamsul Anuar ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pelancong asing yang tergolong sebagai berisiko tinggi termasuk penyalahgunaan pas dan visa, akan dapat dikesan lebih awal menerusi Sistem Pemeriksaan Awal Penumpang (APSS) yang dijadualkan beroperasi mulai Disember ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelaksanaan sistem tersebut akan meningkatkan keselamatan perjalanan udara dan penguatkuasaan imigresen kerana tapisan serta penilaian awal terhadap pelawat asing dapat dilakukan sebelum mereka tiba di Malaysia.

Menurutnya, hanya individu yang memenuhi kriteria keselamatan dan kelayakan akan dibenarkan memasuki negara ini.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan APSS yang dijadualkan beroperasi mulai Disember ini.

“Pelaksanaan APSS dijangka meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan imigresen dengan pengesanan awal pelancong berisiko tinggi serta mengurangkan risiko penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan kemudahan visa jangka panjang,” katanya ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN–Tenggara) yang ingin mengetahui penambahbaikan yang dilaksanakan KDN sebelum pelawat asing tiba di pintu masuk negara.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohd Hasnizan Harun (PN–Hulu Selangor) mengenai pelaksanaan kawalan keselamatan melalui sistem bersepadu, Shamsul Anuar menjelaskan bahawa semua maklumat peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) direkodkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan dihubungkan dengan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Tegas beliau, tapisan keselamatan ke atas peserta pula diwajibkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum kelulusan diberikan.

“Program MM2H dilaksanakan dengan kawalan keselamatan yang ketat melalui sistem bersepadu MOTAC.

Artikel Berkaitan:

“Semua maklumat peserta, termasuk prinsipal dan tanggungan, direkodkan dalam pangkalan data yang berintegriti serta memenuhi keperluan keselamatan negara.

“Hanya ejen berdaftar dengan MOTAC dibenarkan menguruskan permohonan dan urusan peserta MM2H,” katanya.

Tambah beliau, maklumat ejen turut disimpan dalam sistem bagi tujuan pemantauan bagi memastikan urusan dijalankan secara sah dan berterusan.

Ringkasan AI

  • Pelancong asing berisiko tinggi dapat dikesan lebih awal melalui sistem pemeriksaan awal penumpang yang akan beroperasi Disember ini
  • Pelaksanaan sistem meningkatkan keselamatan perjalanan udara dan penguatkuasaan Imigresen
  • Hanya individu yang memenuhi kriteria keselamatan dan kelayakan dibenarkan masuk Malaysia
  • Sistem ini juga bertujuan mengurangkan risiko penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial dan visa jangka panjang
  • Program Malaysia Rumah Keduaku dilaksanakan dengan kawalan keselamatan ketat melalui sistem bersepadu, termasuk rekod peserta dan ejen berdaftar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!