[VIDEO] Trump ke Malaysia: Lebih 1,700 produk dikecualikan tarif AS
KUALA LUMPUR – Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia membuka peluang lebih besar kepada syarikat tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa menerusi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS-Malaysia yang dimeterai pada Ahad.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, kunjungan bersejarah tersebut memperkukuh perjanjian dagangan sedia ada antara kedua-dua negara yang telah diumumkan sebelum ini di Parlimen.
Menurutnya, hasil utama perjanjian tersebut turut menawarkan akses yang lebih baik dan lebih terjamin oleh AS terhadap pasaran mereka bagi produk Malaysia.
“Perjanjian yang disebut semalam bukanlah perjanjian baharu. Ia sudah dipersetujui secara rasmi dan dibentangkan oleh Perdana Menteri serta Menteri MITI sebelum ini, termasuk mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan Dewan Rakyat.
“Boleh dikatakan apa yang dimeterai adalah lebih baik daripada apa yang diumumkan sebelum ini, termasuk melibatkan 1,711 garis tarif yang tidak akan dikenakan tarif 19 peratus.
“Ia termasuk eksport utama Malaysia seperti minyak sawit, barangan berasaskan getah, komponen gantian pesawat dan produk farmaseutikal,” katanya ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH–Jelutong) yang bertanya bagaimana perjanjian antara Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat di Malaysia untuk memastikan perdagangan akan terus dilindungi.
Menurut beliau, antara hasil utama perjanjian itu ialah tawaran akses yang lebih baik dan lebih terjamin oleh AS terhadap pasaran mereka bagi produk Malaysia.
Tambah Chin Tong, di bawah penambahbaikan yang diumumkan oleh AS, Malaysia turut diberikan pertimbangan sewajarnya dalam keputusan AS berhubung Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan AS yang melibatkan sektor semikonduktor.
“Walaupun produk semikonduktor tidak termasuk secara langsung dalam perjanjian ini, apa yang telah dipersetujui semalam akan diambil kira dalam pertimbangan AS berkaitan sektor itu,” jelas beliau.
Lawatan Trump ke Malaysia pada Ahad menjadi tumpuan antarabangsa susulan perbincangan beliau dengan Anwar yang menekankan kepentingan kerjasama perdagangan dua hala dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mengumumkan bahawa Malaysia berjaya mendapatkan pengecualian tarif daripada AS bagi eksport-eksport utama termasuk minyak sawit, getah dan koko, peralatan aeroangkasa serta farmaseutikal.
Katanya, eksport-eksport tersebut secara keseluruhan berjumlah kira-kira AS$5.2 bilion, atau kira-kira 12 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke AS.
Ringkasan AI
- Lawatan Donald Trump ke Malaysia membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menembusi pasaran AS menerusi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS-Malaysia
- Perjanjian tersebut meningkatkan akses produk Malaysia ke pasaran AS dengan lebih baik dan terjamin
- Termasuk dalam perjanjian adalah kebebasan daripada tarif 19 peratus untuk 1,711 garis tarif, melibatkan eksport utama seperti minyak sawit dan getah
- Di bawah peningkatan perjanjian, Malaysia turut diberi pertimbangan dalam keputusan AS mengenai sektor semikonduktor
- Malaysia mendapat pengecualian tarif daripada AS untuk eksport-eksport utama seperti minyak sawit dan farmaseutikal, yang berjumlah sekitar USD5.2 bilion
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
