Pen Rumah Putih milik Trump jadi kenangan buat Anwar

Trump dan Anwar menunjukkan dokumen ditandatangani ketika majlis rasmi pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balik AS-Malaysia yang berlangsung sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Ahad.
Trump dan Anwar menunjukkan dokumen ditandatangani ketika majlis rasmi pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balik AS-Malaysia yang berlangsung sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbualan santai antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyuntik sentuhan peribadi pada majlis rasmi pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balik AS-Malaysia yang berlangsung di sini pada Ahad. 

Kedua-dua pemimpin dilihat berinteraksi dengan mesra, saling bertukar senyuman sekali gus mempamerkan keakraban mereka sepanjang majlis tersebut.

Sejurus sebelum menurunkan tandatangan, Anwar didengar berseloroh, "Saya rasa saya akan dapat pen ini,” yang mengundang senyuman dan gelak kecil para hadirin.

Ketika menandatangani dokumen perjanjian itu, Trump sempat mengerling ke arah tandatangan Anwar sambil berkata: "Tandatangan yang unik.”

Sambil tersenyum Anwar membalas: "Tidak seunik tandatangan anda”.

Trump kemudian menyambung: "Betul, tandatangan beliau begitu unik. Tunggu sebentar, nanti saya tunjukkan.”

Ketika Trump mengambil masa untuk menyiapkan tandatangan beliau yang agak panjang, Anwar mengangkat pennya dan menunjukkan kepada para hadirin sambil bercanda: "Ini pen Rumah Putih,” yang mencuit hati dan sekali lagi mengundang ketawa kecil serta senyuman.

Selepas menurunkan tandatangannya, Trump menyerahkan pen beliau kepada Anwar sebelum menunjukkan tandatangan Perdana Menteri yang terdapat pada dokumen tersebut kepada mereka yang hadir.

"Sangat berbeza… amat unik… begitu artistik,” katanya yang mengundang tepukan spontan para hadirin.

Artikel Berkaitan:

Sebagai tanda persahabatan, Trump kemudian menyerahkan pen itu kepada Anwar, yang dilihat memasukkannya dengan penuh hati-hati ke dalam poket kot beliau.

Momen itu melambangkan persahabatan yang akrab dan mesra kedua-dua pemimpin di tengah-tengah majlis rasmi pemeteraian perjanjian bersejarah hari ini. - Bernama 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Perbincangan santai antara Anwar dan Trump di majlis pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balik AS-Malaysia
  • Kedua-dua pemimpin menunjukkan keakraban dengan saling bertukar senyuman
  • Anwar berseloroh tentang mendapat pen semasa menandatangani perjanjian
  • Trump memuji keunikan tandatangan Anwar dan menunjukkan tandatangan beliau yang panjang
  • Momen penukaran pen antara Trump dan Anwar melambangkan persahabatan mereka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!