Perjanjian damai Thailand-Kemboja bukti diplomasi damai masih relevan

SIDANG Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung pada Ahad menyaksikan pemeteraian perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand yang turut disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum majlis menandatangani perjanjian damai "Delivering Peace - Cambodia-Thailand Peace Deal" itu dimulakan, Trump sempat menzahirkan penghargaan kepada Anwar atas kejayaan beliau menjadi perantara kepada pemeteraian perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand.
Trump menyifatkan Anwar sebagai tokoh hebat dan bersejarah atas peranannya dalam perjanjian damai itu, sambil menegaskan bahawa beliau berasa terpanggil untuk melawat Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 selepas Anwar berjaya menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua negara berkenaan.
Untuk rekod, Thailand dan Kemboja telah lama bertelagah mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer, dengan ketegangan terkini pada 24 Julai lepas mencetuskan konfrontasi ketenteraan.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun ini berjaya memainkan peranan penting dalam mengatur laluan diplomatik yang membawa kepada kejayaan perjanjian bersejarah berkenaan.
Pada 28 Julai, Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Manet dengan pemangku Perdana Menteri Thailand pada masa itu, Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan pertikaian di sepanjang sempadan kedua-dua negara.
Gencatan senjata terbabit, yang dianggap sebagai pencapaian besar ASEAN, berjaya menghalang konflik ketenteraan daripada bertambah buruk dan memastikan keselamatan ribuan orang awam.
Ia menunjukkan bahawa peranan aktif Anwar sebagai perantara membuktikan kemampuan Malaysia dalam mengemudi rundingan berprofil tinggi dan mengimbangi kepentingan pelbagai pihak.
Pendekatan diplomasi damai yang dibawa Anwar dilihat selaras dengan prinsip ASEAN yang menekankan perpaduan, kestabilan dan penyelesaian konflik melalui perundingan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung selama tiga hari itu, bukan sekadar pertemuan diplomatik tahunan tetapi menjadi simbol kebangkitan semula semangat perpaduan serantau.
Melalui kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, kejayaan menamatkan konflik sempadan Kemboja-Thailand membuktikan bahawa prinsip diplomasi damai dan persefahaman bersama masih relevan dalam menyelesaikan cabaran geopolitik moden.
Dalam konteks yang lebih luas, kejayaan tersebut turut meletakkan ASEAN pada landasan baharu, bukan sahaja sebagai forum ekonomi tetapi juga sebagai arkitek keamanan serantau yang mampu mempengaruhi landskap keselamatan Asia Tenggara secara konstruktif dan berkesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

