Henti bawa masuk e-waste - Pakar

 Isu lambakan e-waste bukan perkara baharu, malah telah berlarutan sejak bertahun-tahun lalu tanpa penyelesaian menyeluruh.
Isu lambakan e-waste bukan perkara baharu, malah telah berlarutan sejak bertahun-tahun lalu tanpa penyelesaian menyeluruh.
A
A
A

SHAH ALAM – Cadangan pelaksanaan moratorium selama enam bulan terhadap kemasukan import sisa elektronik (e-waste) disifatkan kurang berkesan, sebaliknya memerlukan ketegasan kerajaan untuk menghentikan terus kemasukan sisa berbahaya itu ke negara ini.

Pakar alam sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, isu lambakan e-waste bukan perkara baharu, malah telah berlarutan sejak bertahun-tahun lalu tanpa penyelesaian menyeluruh.

Menurut beliau, pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kewujudan sehingga 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste yang diseludup masuk ke negara ini menunjukkan masalah tersebut berada pada tahap kritikal dan memerlukan tindakan segera.

“Cadangan moratorium enam bulan itu saya rasa tidak perlu kerana isu ini sudah lama berlaku.

“Sepatutnya, sejak dahulu lagi kita sudah boleh meminimumkan malah menghentikan terus kemasukan e-waste secara haram.

“Isu ini sekejap hangat, sekejap senyap. Jadi, lebih baik ambil tindakan tegas dengan melarang terus kemasukan e-waste tanpa memberi tempoh kelonggaran,” katanya ketika mengulas langkah SPRM menubuhkan task force khas bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap aktiviti e-waste.

Haliza berkata, tindakan penguatkuasaan tidak boleh bergantung kepada satu agensi semata-mata, sebaliknya perlu disertai reformasi struktur secara menyeluruh bagi menutup kelemahan sistem sedia ada.

“Sehingga kini, kita masih belum mempunyai dasar atau undang-undang khusus berkaitan e-waste.

“Keadaan ini membuka ruang kepada kelemahan penguatkuasaan dan penyalahgunaan permit oleh pihak tertentu,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, kewujudan ratusan pusat pemprosesan e-waste haram bukan sahaja melanggar undang-undang, malah memberi kesan besar terhadap alam sekitar termasuk pencemaran air, udara dan tanah.

“Isu ini perlu dipandang serius kerana kesannya sangat ketara kepada alam sekitar dan kesihatan awam.

“Peranan SPRM amat penting untuk mengenal pasti pihak-pihak di sebalik kegiatan ini termasuk individu berkepentingan yang mungkin mempunyai kuasa,” tegasnya.

Mengulas modus operandi pengendali e-waste, Haliza berkata, kegiatan tersebut kini semakin berani dan dilakukan secara terbuka.

“Jika dahulu operasi dijalankan di kawasan tersorok seperti hutan, kini kawasan perindustrian dan kedai barangan lusuh pula menjadi tumpuan. Permit barangan lusuh yang berada di bawah pelbagai pihak berkuasa turut disalahgunakan,” dedahnya.

Justeru, beliau mencadangkan agar sistem pemberian permit dan penguatkuasaan diselaraskan di bawah satu entiti khusus bagi mengelakkan pertindihan kuasa.

“Saya berpandangan pengurusan e-waste seharusnya diletakkan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mereka lebih arif tentang kawasan di bawah bidang kuasa masing-masing, selain pengurusan sisa pepejal memang antara fungsi PBT,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar, Randolph Jeremiah menyifatkan cadangan SPRM untuk mengkaji industri kitar semula bahan e-waste dan plastik secara teliti merupakan tindakan wajar.

Jelasnya, perkara itu penting terutama dari aspek pengumpulan data untuk membentuk tindakan polisi dan perundangan yang kukuh.

“Bagaimanapun dengan perlaksanaan moratorium tersebut, berkemungkinan peningkatan penyeludupan haram dan operasi kitar semula akan meningkat.

“Untuk menangani isu ini, penguatkuasaan dari segi pemantauan dan pemeriksaan perlu diperkukuh selaras dengan peningkatan risiko yang dijangka,” ulasnya.

 

Ringkasan AI

  • Cadangan moratorium enam bulan terhadap import sisa elektronik kurang berkesan dan perlu ada ketegasan kerajaan
  • Isu lambakan e-waste sudah berlarutan bertahun-tahun tanpa penyelesaian menyeluruh
  • Terdapat sehingga 3,000 kontena e-waste diseludup masuk ke Malaysia menunjukkan masalah ini berada pada tahap kritikal
  • Tindakan penguatkuasaan harus melibatkan reformasi struktur secara menyeluruh untuk menutup kelemahan sistem
  • Wujud ratusan pusat pemprosesan e-waste haram yang memberi kesan besar terhadap pencemaran alam sekitar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!