Hakim Danish bawa isyarat dunia

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli, tetap berpuas hati dengan prestasinya dalam perlumbaan Grand Prix Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Moto3 GP Malaysia, biarpun terpaksa menamatkan saingan lebih awal selepas jenteranya mengalami masalah teknikal di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Mewakili pasukan AEON Credit SIC Racing MSi, pelumba berusia 18 tahun itu mempamerkan keupayaan bersaing di peringkat tertinggi apabila mencatat pusingan terpantas perlumbaan dengan masa 2 minit 11.066 saat, sebelum jenteranya tiba-tiba hilang kuasa di Selekoh 1.
Ketika insiden itu berlaku, anak jati Terengganu berkenaan sedang beraksi dalam kelompok 10 pelumba terbaik berpeluang mengutip mata pertama di pentas Kejuaraan Dunia, namun nasib tidak menyebelahinya.
“Ia bukanlah hasil yang saya harapkan, lebih-lebih lagi ketika beraksi di laman sendiri.
“Saya terpaksa berhenti awal selepas jentera hilang kuasa di selekoh pertama. Pasukan masih menyiasat punca sebenar masalah itu,” katanya.
Hakim Danish bagaimanapun tetap positif, menyifatkan hujung minggu GP Malaysia sebagai pengalaman berharga dalam proses menuju kempen sepenuh masa pada musim 2026, selepas mengesahkan tempatnya bersama MSi Racing Team.
“Saya gembira dapat bersaing dengan pelumba terbaik dunia. Mereka sangat pantas dan agresif, dan saya belajar banyak perkara tentang cara tunggangan, strategi serta pengurusan perlumbaan,” ujarnya.
Menurutnya, jika tidak kerana masalah teknikal itu, beliau yakin mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan yang membawa mata, sambil memuji pasukannya atas usaha memastikan jentera berada pada tahap terbaik sepanjang hujung minggu.
“Secara keseluruhan, saya berasa selesa dengan jentera dan setup yang kami pilih. Pasukan melakukan kerja yang hebat,” tambahnya.
Walaupun kecewa kerana gagal menamatkan perlumbaan pertama di pentas Kejuaraan Dunia, Hakim Danish menyifatkan sorakan penyokong Malaysia di grandstand sebagai suntikan semangat luar biasa.
“Sorakan peminat memberi motivasi besar kepada saya. Ia pengalaman yang tidak akan saya lupakan. Saya tidak sabar menantikan musim penuh tahun depan dan akan terus bekerja keras memperbaiki diri,” katanya.
Sebagai rekod, pelumba muda itu menampilkan prestasi konsisten sepanjang minggu perlumbaan apabila menamatkan sesi Latihan Bebas Pertama (FP1) di kedudukan kelapan terpantas dengan catatan 2:11.317s, sebelum layak terus ke Kelayakan 2 (Q2) selepas mencatat 2:11.820s.
Dalam FP2, Hakim Danish terus menyerlah dengan masa keenam terpantas 2:10.576s, sekali gus membuktikan keupayaannya bersaing dalam kelompok pelumba utama.
Beliau turut merakam penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program wildcard tersebut termasuk penaja dan penyokong tempatan yang menjadi pemangkin semangatnya menjelang kempen penuh musim 2026.
"Anda semua benar-benar mendapat penghormatan saya. Terima kasih kepada semua yang terus menyokong dan terima kasih Malaysia.
"Terima kasih yang tidak terhingga kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia, AEON Credit Service (M) Bhd, Litar Antarabangsa Sepang, MSi Racing Team, Terengganu Inc, ZK Racing, Mitratech Asia, RCB Malaysia, Alpinestars dan MT Helmet atas kepercayaan yang diberikan kepada saya," katanya.
Ringkasan AI
- Hakim Danish Ramli berpuas hati dengan prestasi dalam Moto3 GP Malaysia walaupun berhenti awal kerana masalah teknikal
- Mewakili AEON Credit SIC Racing MSi, mencatat pusingan terpantas sebelum jenteranya hilang kuasa
- Berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik sebelum masalah teknikal
- Menyifatkan pengalaman GP Malaysia sebagai berharga untuk kempen sepenuh masa pada 2026
- Sorakan penyokong Malaysia dianggap sebagai motivasi besar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
