‘Spare part’ semula jadi kurniaan ALLAH
Bank Tisu USM pelopor kepakaran urus pelbagai tisu penderma untuk bekalan klinikal seluruh negara

KOTA BHARU – Kebaikan seseorang akan terus 'hidup' walaupun selepas kematiannya melalui tulang, kulit dan tendon yang didermakan sebagai ‘hadiah terakhir’ bagi membantu pesakit lain.
Lebih istimewa, sumbangan itu diuruskan mengikut tatacara yang menjaga kehormatan tubuh manusia, termasuk memastikan jasad penderma kekal sempurna dan lebihan tisu yang tidak digunakan dikebumikan mengikut kaedah ditetapkan.
Di sebalik usaha berkenaan, Bank Tisu Universiti Sains Malaysia (USM) mempunyai kepakaran tersendiri apabila menjadi satu-satunya bank tisu pelbagai jenis di negara ini yang memproses tisu manusia termasuk juga selaput uri atau amnion.
Bank Tisu USM yang diketuai Profesor Dr Suzina Sheikh Ab Hamid berkata, tisu yang didermakan boleh dianggap sebagai ‘spare part’ semula jadi yang membantu menggantikan atau merawat bahagian tubuh pesakit yang mengalami kerosakan.
“‘Spare part’ ini ALLAH bagi, daripada ALLAH yang kami proses untuk guna dalam perubatan.
“Tulang, kulit dan tendon dari penderma ini akan digunakan untuk membantu pesakit yang mengalami kemalangan, kanser, luka dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sempena sambutan ulang tahun ke-32 Bank Tisu USM pada Khamis.
Menurut Pensyarah Perubatan dan Perunding Kanan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher itu, berbeza dengan organ seperti jantung yang perlu dipindahkan kepada penerima dalam tempoh segera, tisu tertentu boleh melalui proses pengawetan dan pensterilan sebelum disimpan untuk kegunaan klinikal.
“Keupayaan itu membolehkan tisu yang didermakan disediakan dalam pelbagai bentuk dan saiz mengikut keperluan pakar perubatan sekali gus memastikan bekalan tersedia apabila diperlukan.
“Tulang daripada penderma misalnya diproses untuk kegunaan bidang ortopedik bagi membantu pesakit yang mengalami kerosakan tulang akibat penyakit atau kecederaan,” ujarnya.
Tisu tulang turut digunakan dalam bidang pergigian dan pembedahan maksilofasial bagi membantu membaiki struktur rahang serta menyediakan asas sokongan untuk rawatan implan gigi.
“Pada tahun ini, Bank Tisu USM menerima tujuh penderma tulang, berbanding dua penderma tahun lepas.
Juga ada enam penderma kulit yang akan beri manfaat ramai kepada pesakit melecur,” katanya.

Beliau berkata, kulit sangat diperlukan untuk merawat pesakit yang mengalami kelecuran serius kerana kehilangan lapisan pelindung tubuh boleh menyebabkan kehilangan cecair serta meningkatkan risiko jangkitan kuman.
Selain pendermaan tisu selepas kematian, Bank Tisu USM turut menerima selaput uri atau amnion daripada ibu yang bersetuju mendermakannya selepas melahirkan anak dan digunakan sebagai pembalut luka biologi.
Dalam pada itu, kebimbangan mengenai keadaan tubuh selepas pendermaan tisu turut diberi perhatian apabila Bank Tisu USM memastikan jasad penderma tidak kelihatan cacat atau mengalami perubahan bentuk sebelum diserahkan untuk pengebumian.
Menurutnya, pihak bank tisu turut menyediakan latihan kepada doktor yang terlibat dalam proses pengambilan tulang supaya prosedur dilakukan dengan teliti dan tubuh penderma dapat dipulihkan semula.
“Mayat penderma yang meninggal dunia itu tidak akan kelihatan tidak sempurna melalui kaedah-kaedah tertentu,” katanya Profesor Dr Suzina.
Malah, pematuhan syariah menjadi antara aspek penting dalam pengurusan Bank Tisu USM sehingga memperoleh pensijilan MS 1900.
Beliau menjelaskan, pematuhan itu melibatkan keseluruhan proses pengurusan tisu termasuk aspek keselamatan, kebersihan, penerimaan dan pengagihan kepada pesakit yang memerlukan.

Dalam konteks pendermaan, tisu yang diserahkan dianggap sebagai hadiah kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya tanpa mengira latar belakang agama.
“Dalam konsensus kita cakap ini hadiah.
“Maknanya apabila dia derma, dia anggap itu hadiah kepada siapa yang memerlukan,” katanya.
Lebih menarik, pematuhan syariah itu turut merangkumi pengurusan lebihan tisu yang tidak digunakan serta tamat tempoh penyimpanan antara tiga hingga lima tahun.
“Tisu lebihan atau luput ini tidak dibuang sewenang-wenangnya atau dibakar seperti sisa biologi tertentu, sebaliknya diasingkan dan dikumpulkan sebelum diuruskan melalui proses pengebumian dengan kerjasama Pusat Islam Kampus Kesihatan USM.
“Proses ini dilaksanakan secara berkala di kawasan perkuburan yang dikhaskan bagi pengurusan tisu manusia termasuk melalui tatacara pembungkusan dan pengendalian yang ditetapkan,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, penderma tisu masih diperlukan bagi memastikan bekalan dapat memenuhi permintaan hospital kerajaan dan swasta di seluruh negara.
Katanya, satu pendermaan tulang berpotensi memberi manfaat kepada beberapa pesakit apabila tisu berkenaan dibersihkan dan diproses mengikut keperluan rawatan.
Malah, bekalan yang dihasilkan tidak hanya digunakan oleh pesakit di Hospital Pakar USM, sebaliknya turut dibekalkan kepada hospital lain berdasarkan permohonan rasmi doktor yang merawat pesakit.
“Kami tidak mengagihkan tisu ke luar negara kerana kita sendiri berdepan kekurangan graf tisu.
“Kami utamakan keperluan pesakit rakyat Malaysia,” katanya.
Menurutnya, tisu yang didermakan juga perlu melalui proses saringan, pensterilan dan pemeriksaan keselamatan sebelum dibekalkan kepada pesakit bagi mengelakkan risiko jangkitan penyakit.
Bank Tisu USM turut menggunakan beberapa kaedah pengawetan termasuk pengeringan beku, gliserol dan penyimpanan sejuk beku.
“Antara keistimewaannya ialah graf tulang yang melalui proses pengeringan beku boleh disimpan pada suhu bilik, sekali gus memudahkan penghantaran kepada hospital tanpa memerlukan ais kering atau bekas penyimpanan khas,” katanya.
Kepakaran Bank Tisu USM yang dibangunkan sejak lebih tiga dekad lalu turut menarik perhatian pengamal perubatan dari Asia, Timur Tengah dan Afrika untuk mendapatkan latihan bagi membangunkan bank tisu di negara masing-masing.
Bank Tisu USM yang dirasmikan pada 5 November 1994 itu turut menjalankan penyelidikan dan inovasi serta memiliki pensijilan ISO 9001, ISO 13485 dan MS 1900 bagi menyokong pengurusan kualiti, keselamatan serta pematuhan Syariah dalam operasinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

