Undang-undang digital perlu dipinda

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan disaran mengkaji dan melaksanakan pindaan undang-undang digital bagi memastikan telco turut dipertanggungjawabkan dalam kes scammer yang semakin berleluasa di negara ini.
Pakar IT dan Teknologi Media Digital merangkap Timbalan Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Dr Amirah Ismail berkata, langkah itu selaras dengan amalan di beberapa negara seperti United Kingdom dan Singapura yang telah memperkenalkan undang- undang khusus bagi mengawal aktiviti penipuan digital.
“Saranan lain termasuklah MCMC perlu mempergiat siasatan terhadap syarikat yang menjual peranti komunikasi tidak diperakui serta mengenakan tindakan tegas bagi mengekang penjualan peranti yang boleh digunakan untuk aktiviti penipuan.
“Kerjasama antara MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia serta syarikat telekomunikasi juga perlu diperkukuh bagi mempercepatkan tindakan terhadap aktiviti scammer,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau yang juga Penolong Kanan Profesor di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam berkata, penubuhan unit khas anti-scam dalam setiap agensi berkaitan juga perlu dipertimbangkan bagi memastikan tindakan lebih pantas dan terkoordinasi.
Seorang lagi pakar keselamatan siber, Aaron Ikram Mokhtar berkata, kerajaan perlu memperkukuh penguatkuasaan dengan mewajibkan semua telco menggunakan sistem Call Authentication Framework (CAF) seperti yang diamalkan di luar negara bagi mengesahkan identiti pemanggil dan mengurangkan penggunaan nombor palsu.
Beliau turut menyarankan agar telco diwajibkan menubuhkan pusat pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan corak panggilan mencurigakan secara masa nyata serta menyekatnya sebelum sampai kepada pengguna.
“MCMC juga boleh memperkenalkan garis panduan yang menjelaskan liabiliti syarikat telekomunikasi seperti penalti jika gagal menyekat nombor yang sudah dilaporkan sebagai scam dalam tempoh tertentu.
“Antara lain, proses pengesahan SIM dan eKYC perlu diperketatkan, dengan pendaftaran kad SIM perlu melalui pengimbasan biometrik dan pengesahan identiti digital nasional (MyDigital ID) bagi mengelak pendaftaran palsu,” katanya ketika dihubungi.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran dan literasi siber rakyat melalui program berterusan seperti CyberSmart Nation bagi membantu masyarakat memahami modus operandi scammer.
Ringkasan AI
- Kerajaan disarankan mengkaji dan melaksanakan pindaan undang-undang digital untuk memastikan telco bertanggungjawab dalam kes scammer
- Pakar keselamatan siber mencadangkan kerjasama antara MCMC, PDRM, Bank Negara Malaysia, dan syarikat telekomunikasi diperkukuh untuk memerangi aktiviti scammer
- Penubuhan unit khas anti-scam dalam agensi berkaitan disarankan untuk memastikan tindakan pantas dan terkoordinasi terhadap aktiviti penipuan
- Penggunaan sistem Call Authentication Framework (CAF) dan pusat pemantauan berasaskan AI oleh telco disarankan untuk mengurangkan scam
- Pengetatan proses pengesahan SIM dan eKYC serta peningkatan literasi siber dikalangan rakyat disarankan agar masyarakat lebih siap menghadapi scammer
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

