[VIDEO] LZS semarak gotong-royong komuniti melalui program 'Jom Rewang'
SABAK BERNAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneruskan komitmennya mendekati masyarakat melalui penganjuran Program Komuniti Kempen Impak Dirasa: Jom Rewang yang diadakan di Surau Ubudiah, Parit 10 Ban Kenal, Pasir Panjang di sini.
Berteraskan semangat gotong-royong tradisi Melayu, program itu menghimpunkan hampir 500 peserta daripada komuniti setempat bagi mengeratkan silaturahim antara LZS dan penduduk kampung dalam suasana penuh muhibah.
Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Siti Aishah Abu Bakar berkata, Jom Rewang bukan sekadar aktiviti kemasyarakatan, tetapi juga usaha memperkukuh hubungan rapat dan kepercayaan antara LZS dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Melalui Jom Rewang, kita bukan sahaja menghidupkan kembali warisan gotong-royong, tetapi turut menzahirkan keprihatinan LZS terhadap kesejahteraan masyarakat.
"Usaha LZS bukan sekadar menyalurkan bantuan zakat semata-mata, tetapi juga membina hubungan berasaskan kasih sayang, rasa tanggungjawab dan kepercayaan.
"Inilah nilai yang ingin kita semarakkan menerusi kempen Impak Dirasa bertemakan ‘Sentiasa Bersama, Sentiasa Menjaga’,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi.

Beliau berkata, persiapan program telah bermula sejak semalam apabila warga kerja LZS bersama penduduk bergotong-royong menyediakan hidangan untuk hampir 500 tetamu.
“Tujuan utama kami adalah merapatkan jurang antara pembayar zakat dan penerima manfaat selain meraikan komuniti di sekitar Surau Ubudiah,” jelasnya sambil menyeru orang ramai agar menunaikan zakat melalui portal rasmi LZS di fpx.zakatselangor.com.my.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran dua pelakon popular tanah air, Azhan Rani dan Ieda Moin, yang bersama-sama penduduk menyediakan juadah serta memeriahkan suasana rewang.
Azhan yang sudah dua kali menyertai program anjuran LZS berkata, beliau teruja melihat sambutan penduduk terhadap aktiviti komuniti seperti ini.
“Alhamdulillah, ini kali kedua saya bersama LZS selepas program di Kampung Sejangkang. Sejak petang semalam kami sudah mula rewang, memotong bahan dan memasak untuk menjamu lebih 500 penduduk.
"Program seperti ini bukan sahaja menghidupkan semangat gotong-royong, malah mengeratkan ukhuwah antara semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Ieda Moin yang turut serta dari awal persiapan memuji inisiatif LZS yang secara konsisten mendekati masyarakat melalui aktiviti sebegini.
“Saya dah beberapa kali terlibat dengan program LZS. Mereka suka buat aktiviti yang menyeronokkan sambil memberi manfaat kepada komuniti. Semalam kami potong bawang, siang ikan, dan hari ini sama-sama masak serta bergembira,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parit 10 Pasir Panjang, Mohd Faizal Hapis, turut menzahirkan penghargaan kepada LZS atas penganjuran program berkenaan.
“Terima kasih kepada Lembaga Zakat Selangor dan semua yang menjayakan program ini. Semoga usaha sebegini diteruskan dengan skala lebih besar agar memberi impak positif kepada masyarakat dan pembayar zakat,” katanya.
Selain aktiviti memasak secara rewang, program turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna dan kuiz, sesi perkongsian ilmu serta jamuan komuniti.
Penganjuran Jom Rewang merupakan sebahagian daripada rangkaian aktiviti di bawah Kempen Impak Dirasa yang dilaksanakan bagi memperkukuh hubungan LZS dengan masyarakat, selain memperluas keterlihatan institusi zakat sebagai organisasi prihatin dan dekat di hati rakyat.
Ringkasan AI
- Lembaga Zakat Selangor menganjurkan Program Komuniti Kempen Impak Dirasa: Jom Rewang di Surau Ubudiah, Parit 10 Ban Kenal, Pasir Panjang
- Program ini berbasis pada semangat gotong-royong dan mengumpulkan hampir 500 peserta dari komuniti setempat
- Tujuan utamanya adalah untuk mengukuhkan hubungan dan kepercayaan antara LZS dengan masyarakat di peringkat akar umbi serta memelihara kesejahteraan masyarakat
- Pelakon popular tanah air, Azhan Rani dan Ieda Moin, turut serta dalam persiapan dan pelaksanaan program ini
- Usaha ini adalah sebahagian daripada Kempen Impak Dirasa yang bertujuan memperkukuh hubungan antara LZS dengan masyarakat serta meningkatkan keterlihatan LZS sebagai organisasi yang prihatin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

