Pahang perkasa belia, lahirkan pemimpin pelapis melalui program YES 2025

Fadzli (depan, lima dari kanan) bergambar kenangan bersama peserta terlibat. Foto Facebook Fadzli
Fadzli (depan, lima dari kanan) bergambar kenangan bersama peserta terlibat. Foto Facebook Fadzli
A
A
A

RAUB -  Kerajaan Negeri Pahang mengambil inisiatif melahirkan generasi pemimpin pelapis berwibawa menerusi penganjuran Program Pemerkasaan Persatuan Belia (YES) Peringkat Negeri Pahang 2025.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, program khas kerajaan negeri itu turut bertujuan menyuntik nilai disiplin dan semangat muafakat dalam kalangan belia.

“Program YES adalah program khas Kerajaan Negeri Pahang untuk kita terapkan nilai disiplin, muafakat dan kerjasama utuh dalam kalangan belia.

“Tahun ini merupakan penganjuran kali kedua. Bagi kerajaan negeri, belia atau anak muda adalah aset terpenting. Kita mahu lahirkan anak muda tanpa mengira bangsa – Melayu, Cina, India atau Orang Asli – dengan disiplin tinggi, jati diri kental serta berketahanan, kerana dunia hari ini penuh cabaran dan menuntut belia yang benar-benar bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program YES Peringkat Daerah Raub di Kompleks Rakan Muda Raub dekat Dong pada Sabtu yang disertai peserta pelbagai kaum.

Menurut Fadzli, golongan belia berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan, kerjaya dan masa depan, justeru mereka perlu diperkasakan melalui program ini.

“Kita tidak mahu belia Pahang gagal mendepani cabaran. Tidak kira bidang apa yang diceburi, mereka perlu bersedia. Itulah objektif pelaksanaan YES,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan beberapa penambahbaikan dilaksanakan bagi memantapkan program tersebut, termasuk melantik fasilitator daripada kalangan peserta terbaik YES tahun lalu untuk membimbing peserta baharu.

“Selain itu, modul juga ditambah baik agar menepati kehendak kerajaan negeri, termasuk menanamkan kecintaan terhadap negeri dan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, langkah ini penting bagi memastikan peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat membentuk muafakat erat sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat dan negeri.

Peserta YES Pahang terdiri daripada belia berusia bawah 28 tahun, anak jati Pahang atau pengundi sah negeri itu. Keutamaan diberikan kepada mereka yang aktif berpersatuan, mempunyai sifat kepimpinan serta pengalaman di peringkat akar umbi. Program ini juga terbuka kepada pemimpin muda persatuan, penggerak komuniti serta belia berwawasan jelas dalam memimpin masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!