Lebih 1,000 terbunuh dalam tanah runtuh

ISTANBUL - Lebih 1,000 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di sebuah kampung di negeri Darfur Tengah, barat Sudan, menurut sebuah kumpulan bersenjata, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pergerakan/Tentera Pembebasan Sudan (SLM/A), kumpulan yang menguasai kawasan itu dalam kenyataan berkata, seluruh penduduk kampung Tarsin di Pergunungan Marra maut pada 31 Ogos selepas hujan lebat mencetuskan tanah runtuh.
Hanya seorang yang terselamat dalam bencana itu, kata kumpulan berkenaan, sambil menambah bahawa kebun sitrus yang terkenal di kampung tersebut turut musnah.
Kumpulan itu menyeru pertubuhan antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membantu mengeluarkan mayat dari bawah runtuhan.
Dalam kenyataan berasingan, Gabenor wilayah Darfur, Minni Arko Minnawi, menyifatkan kejadian itu sebagai "tragedi kemanusiaan yang melampaui sempadan wilayah,” dan merayu kepada pertubuhan kemanusiaan antarabangsa "untuk campur tangan segera bagi memberi sokongan dan bantuan pada saat kritikal ini, kerana tragedi ini melangkaui kemampuan rakyat kami.”
Setakat pagi Selasa, belum ada pengesahan daripada kerajaan Sudan. SLM/A merupakan sebuah gerakan politik dan ketenteraan yang beroperasi di beberapa bahagian negeri Darfur Tengah, yang berada di bawah kawalan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Bencana alam ini berlaku ketika peperangan antara tentera dan RSF masih berlarutan, yang telah meragut lebih 20,000 nyawa dan menyebabkan 14 juta orang hilang tempat tinggal sejak April 2023, menurut PBB dan pihak berkuasa tempatan. Namun, penyelidikan oleh universiti di Amerika Syarikat menganggarkan angka korban mencecah sekitar 130,000 orang. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
