Banjir makin buruk di Perak, lebih 1,700 mangsa dipindahkan

IPOH – Keadaan banjir di Perak semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 1,776 orang daripada 609 keluarga setakat jam 4 pagi Jumaat.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, dua daerah masih terjejas iaitu Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung dengan keseluruhan 23 PPS beroperasi.
Daripada jumlah itu, daerah LMS mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 1,413 orang daripada 502 keluarga yang ditempatkan di 20 PPS, manakala di Manjung seramai 363 mangsa daripada 107 keluarga berlindung di tiga PPS.

Antara lokasi terjejas di daerah LMS ialah Kampung Simpang Halt, Batu 8, Ulu Sepetang, Matang Gelugor, Matang dan Changkat Jering.
PPS yang dibuka di daerah itu termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, Masjid Alwusta Batu 8, Masjid Ali Rouse Ulu Sepetang serta SK Bukit Jana.
Di Manjung pula, PPS dibuka di SK Sungai Batu, Pantai Remis; SK Beruas dan Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Pengkalan Baru dengan kebanyakan mangsa melibatkan penduduk di Kampung Nelayan, Kampung Sungai Batu, Taman Pantai Wang serta Kampung Pulau Kabung.
Laporan turut menyebut beberapa PPS di kedua-dua daerah masih dalam proses pendaftaran mangsa oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Antara agensi yang terlibat dalam operasi pemindahan dan pemantauan ialah Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Sementara itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan berterusan di beberapa kawasan di Perak pada Jumaat, sekali gus dijangka meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah.
Paras air Sungai Kurau di Batu 14, Batu Kurau dan Sungai Kerian di Selama turut dilaporkan menghampiri tahap amaran, manakala Empangan Bukit Merah menunjukkan paras air pada 8.19 meter, hampir dengan paras normal penuh 8.7 meter.
Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri turut menasihatkan penduduk terutama di kawasan berisiko supaya berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta segera berpindah ke PPS berdekatan sekiranya diarahkan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Malam tadi media melaporkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melakukan pelepasan air di Alur Limpah Utara dengan kadar semasa 300 cusec bagi mengimbangi paras air susulan hujan berterusan melanda beberapa kawasan di daerah Kerian sejak beberapa hari lalu.
Dalam notis yang dikongsi, JPS memaklumkan, langkah pelepasan itu dilakukan sebagai langkah kawalan bagi mengelak risiko limpahan besar di kawasan rendah berhampiran sistem saliran utama.
Ringkasan AI
- Keadaan banjir di Perak semakin buruk dengan 1,776 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara
- Dua daerah terjejas ialah Larut, Matang dan Selama serta Manjung dengan 23 PPS beroperasi
- Daerah LMS mencatatkan bilangan mangsa tertinggi dengan 1,413 orang
- Antara agensi terlibat dalam operasi pemindahan ialah APM, JBPM, ATM, PDRM, JKM, JPS, dan MetMalaysia
- MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan berterusan yang dijangka meningkatkan risiko banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

