Kanser ‘serang’ Irsyad kali kedua

YAN – “Saya tak sabar nak masuk semula ke sekolah jumpa kawan-kawan lain, tapi apakan daya terpaksa tangguh lagi demi menyelamatkan nyawa, saya reda.”
Demikian luahan Muhammad Irsyad Azim Baharin, 16, yang sekali lagi diuji apabila kanser tisu otot jenis Left Axilla Rhabdomyosarcoma yang pernah dihadapinya sebelum ini kembali menyerang menyebabkan tangan kirinya kini hampir tidak berfungsi.
Pelajar dari Kampung Gelam 3, Bukit Besar di sini mula menyedari kehadiran benjolan kecil di bahagian ketiak kira-kira dua tahun lalu.
Pada awalnya, benjolan itu tidak menyakitkan dan tidak menimbulkan gejala lain menyebabkan dia tidak memaklumkan kepada sesiapa termasuk keluarganya.
Namun, apabila benjolan semakin membesar dan merebak ke beberapa bahagian, Muhammad Irsyad Azim mendapatkan rawatan di sebuah klinik sebelum dirujuk ke Hospital Pendang dan seterusnya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum hasil biopsi mengesahkan dia menghidap kanser sarcoma sejenis kanser yang menyerang tisu otot.

“Masa tu tangan dah rasa sakit sangat, rasa macam nak meletup,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kota Sarang Semut, di sini
Anak kedua daripada empat beradik ini telah menjalani sembilan sesi kemoterapi dan 30 kali radioterapi.
Selepas menunjukkan tanda-tanda pemulihan, dia mula merancang untuk kembali ke sekolah dan menyambung pengajian Tingkatan 4, namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila dua minggu lalu doktor memaklumkan bahawa sel kanser kembali aktif.
Akibatnya, Muhammad Irsyad Azim terpaksa menangguhkan sekali lagi persekolahannya dan tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan dan rawatan kemoterapi dijadualkan bermula minggu hadapan di HPP.
“Saya reda, tapi tetap berharap dapat sembuh dan kejar cita-cita nak jadi pegawai bomba. Saya juga rindu nak main bola,” katanya yang aktif dalam sukan sebelum disahkan sakit.
Ayahnya, Baharin Saad, 55, bekerja sebagai pesawah dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan, manakala ibunya, Rohani Man, 57, mengambil upah menanam padi secara kecil-kecilan dan bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan.
Menurut Rohani, mereka kini buntu memikirkan kos ulang-alik ke hospital yang semakin meningkat, apatah lagi selepas suaminya mengalami kemalangan pada Mac lalu yang menyebabkan bahunya patah dan hanya mampu melakukan kerja ringan.
“Berat badan Irsyad turun dari 40 kilogram kepada 30 kilogram sebab dia tak berselera makan. Kami perlukan bantuan untuk teruskan rawatan dia,” ujarnya.
Nasib keluarga Muhammad Irsyad Azim mendapat perhatian Cancer Survivors Malaysia (CSM) yang diwakili Pengerusinya, Zuraini Kamal yang hadir menziarahi mereka dan menghulurkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi Akaun Bank Islam 02084020219313 (Rohani Binti Man).
Ringkasan AI
- Muhammad Irsyad Azim Baharin, 16 tahun, menghadapi kembali serangan kanser Left Axilla Rhabdomyosarcoma yang membuat tangan kirinya hampir tidak berfungsi
- Pelajar ini mula menyedari adanya benjolan di ketiak dua tahun lalu namun tidak mengambil tindakan sehingga benjolan membesar dan akhirnya didiagnosis mengidap kanser
- Muhammad Irsyad telah menjalani sembilan sesi kemoterapi dan 30 kali radioterapi sebelum kanser kembali aktif
- Terpaksa menangguhkan sekolah dan SPM, dia berharap dapat sembuh dan mengejar cita-citanya menjadi pegawai bomba
- Keluarga Muhammad Irsyad memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan rawatan di tengah kesukaran ekonomi yang dihadapi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

