Suami isteri didakwa perdagangkan Seni

Azhar (belakang, kiri) dan Zuzian (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang pada Jumaat bagi menghadapi satu pertuduhan memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Indonesia, minggu lalu.
Azhar (belakang, kiri) dan Zuzian (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang pada Jumaat bagi menghadapi satu pertuduhan memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Indonesia, minggu lalu.
A
A
A

KLANG - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Indonesia, minggu lalu.

Pengarah syarikat elektronik, Azhar Mat Taib, 59, dan suri rumah, Zuzian Mahmud, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memperdagangkan seorang wanita, Seni, 47, bagi maksud ekploitasi kerja paksa dengan cara kekerasan hingga menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kota Perdana, Seri Kembangan di sini pada 19 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut di bawah Seksyen 13(a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ayuni Jamri mencadangkan pasangan tersebut tidak diberi ikat jamin.

"Bagaimanapun jika mahkamah mengguna pakai budi bicara untuk memberikan jaminan, kami mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

"Termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu atau mendekati saksi pendakwaan," katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani.

Sementara itu, peguam, GS Gabriel yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu, anak guamnya diberi jaminan pada kadar minimum.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Azhar merupakan pesakit jantung dan perlu menanggung tiga anak termasuk isteri yang juga suri rumah.

"Anak bongsunya masih belajar di United Kingdom dalam jurusan perundangan sekali gus memerlukan kos yang tinggi.

"Sementara isteri yang juga tertuduh kedua dalam kes ini, mempunyai penyakit tulang rawan tergelincir atau 'slip disc'.

"Mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau, telah memberi kerjasama baik kepada polis, maka tiada sebarang risiko untuk mereka melarikan diri," katanya yang akur sekiranya anak guam dikenakan syarat tambahan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Mohd Sabri membenarkan semua cadangan yang dibuat pihak pendakwaan dan menetapkan 28 November depan untuk serahan dokumen.

Ringkasan AI

  • Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdagangkan pembantu rumah Indonesia
  • Didakwa melakukan ekploitasi kerja paksa yang menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa
  • Kesalahan dilakukan di Kota Perdana, Seri Kembangan pada 19 Oktober
  • Menghadapi hukuman seumur hidup atau sekurang-kurangnya lima tahun dan boleh kena sebat
  • Hakim membenarkan jaminan RM20,000 dan syarat tidak mengganggu saksi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!