Sitaan simpanan kewangan buka jalan bela nasib bekas isteri, anak

LANGKAH kerajaan untuk melaksanakan sitaan simpanan kewangan terhadap bekas suami yang culas membayar nafkah dilihat sebagai tindakan tegas yang sudah lama dinantikan khususnya buat bekas isteri terkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan, usaha itu sedang diusahakan melalui kerjasama Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan Bank Negara Malaysia (BNM).
Langkah terbabit memberi isyarat jelas bahawa tanggungjawab nafkah bukan lagi boleh dipandang ringan.
Realitinya, ada bekas isteri dan anak-anak terkesan apabila nafkah tidak ditunaikan.
Ramai wanita terpaksa memikul beban kewangan sendirian apabila bekas suami gagal menyalurkan nafkah sebagaimana ditetapkan Mahkamah Syariah.
Apabila nafkah tidak dibayar, bekas isteri bukan sahaja berdepan masalah kewangan, malah tekanan emosi dan mental.
Ada yang terpaksa bekerja lebih masa, meminjam wang atau mengorbankan keperluan sendiri demi membesarkan anak.
Anak-anak pula menjadi mangsa paling terkesan kerana kekurangan sokongan kewangan menyebabkan ada dikhuatiri tidak mendapat pendidikan atau kemudahan sewajarnya.
Lebih membimbangkan, mereka membesar dengan rasa kecewa terhadap tanggungjawab seorang bapa.
Tindakan menyita simpanan kewangan adalah satu bentuk keadilan yang wajar dan ia memberi mesej jelas bahawa tanggungjawab terhadap nafkah bukan sekadar moral, tetapi kewajipan undang-undang yang boleh dikuatkuasakan jika diabaikan.
Punca kecuaian nafkah berkemungkinan berpunca daripada sikap sambil lewa, keegoan selepas perceraian dan tiada kesedaran tentang kesan terhadap anak-anak.
Kepada lelaki, khususnya bekas suami dan bapa, ini waktunya untuk bermuhasabah kerana perceraian bukan alasan untuk melepaskan tanggungjawab terhadap anak dan bekas isteri.
Kesimpulannya, inisiatif sitaan kewangan terhadap bekas suami yang culas membayar nafkah adalah titik perubahan dan langkah berani yang wajar demi membela nasib bekas isteri dan anak-anak.
Ia bukan bertujuan menghukum, tetapi memastikan hak wanita dan anak-anak tidak dinafikan.
Ringkasan AI
- Inisiatif kerajaan sitaan simpanan kewangan bagi bekas suami yang tidak membayar nafkah dilihat sebagai tindakan tegas
- Usaha ini dilakukan melalui kerjasama Bahagian Sokongan Keluarga di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan Bank Negara Malaysia
- Bekas isteri dan anak-anak terkesan secara kewangan dan emosi apabila nafkah tidak ditunaikan
- Tindakan menyita simpanan kewangan adalah bentuk keadilan untuk memastikan hak wanita dan anak-anak tidak dinafikan
- Inisiatif ini bertujuan bukan hanya menghukum, tetapi memastikan bekas suami memenuhi tanggungjawab nafkah sebagai kewajipan undang-undang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

