Tuaian padi selesai dua minggu lagi, elak terjejas banjir

KHALID
KHALID
A
A
A

KOTA BHARU – Kerja-kerja penuaian padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi bagi mengelak hasil tanaman terjejas akibat musim tengkujuh.

Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad berkata, setakat ini kira-kira 2,500 hektar atau 10 peratus kawasan tanaman padi di bawah kelolaan agensi itu sudah dituai, manakala baki 15,000 hektar lagi dijangka selesai menjelang awal bulan depan.

“Ramalan Jabatan Meteorologi menjangkakan hujan lebat bermula awal November, jadi proses tuaian dijangka sempat dilakukan.

“Memang terdapat sebahagian petani yang lewat menanam padi, namun mereka juga akan percepat tuaian sebelum kawasan sawah berisiko dinaiki air,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Usahawan KADA 2025 di sebuah pasar raya di Tunjong di sini pada Khamis.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan geran berjumlah RM1.03 juta kepada 42 penerima yang terdiri daripada pelbagai jenis usahawan agensi berkenaan.

Khalid (empat dari kiri) bergambar bersama penerima geran KADA.
Khalid (empat dari kiri) bergambar bersama penerima geran KADA.

Menurut Khalid, sebanyak 25,101 hektar atau 94 peratus kawasan padi ditanam sepanjang musim ini dan purata hasil kekal antara empat hingga 4.5 tan sehektar, menunjukkan prestasi pengeluaran yang stabil biarpun berdepan cabaran cuaca panas dan serangan rumpai.

“Laporan rasmi KADA juga membuktikan pengeluaran padi kekal stabil dengan hanya 12.7 peratus kawasan mengalami serangan rumpai, manakala kemusnahan sebenar direkodkan pada kadar amat rendah iaitu 0.18 peratus.

Artikel Berkaitan:

Khalid (tengah) melihat kerepek keluaran usahawan KADA.
Khalid (tengah) melihat kerepek keluaran usahawan KADA.

“Serangan penyakit hawar daun bakteria pula hanya melibatkan 0.7 peratus kawasan dengan kemusnahan 0.26 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, KADA merancang akan menambah keluasan tanaman padi seliaan agensi itu tahun hadapan membabitkan beberapa daerah termasuk Tumpat dan Pasir Puteh.

“Di Tumpat itu, kawasan tersebut sebelum ini sawah tetapi terbiar kerana dimasukki air masin dan kami akan lihat kaedah tertentu untuk penanaman semula.

“Pasir Puteh pula, ada kawasan bendang dan ada juga tanah terbiar yang akan dinilai dengan teliti kerana babitkan aspek pengairan,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!