Petani, penternak, nelayan terjejas banjir diminta lapor kerosakan harta benda

KUALA LUMPUR - Petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir diminta segera melaporkan sebarang kerosakan harta benda atau kehilangan sumber pendapatan kepada pejabat pertanian atau agensi berkaitan terdekat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya akan meneliti laporan berkenaan dan menyalurkan bantuan sewajarnya bagi meringankan beban golongan terbabit.
"Bang Mat menzahirkan rasa simpati amat mendalam kepada semua mangsa banjir di beberapa negeri yang kini sedang berdepan ujian berat. Kepada semua yang terjejas, banyakkan bersabar dan kuatkan semangat.
"Ujian ini pasti ada hikmahnya. Pihak kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan sedang turun ke lapangan bagi menyalurkan bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa dijaga,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.
Beliau dalam pada itu turut menghargai jasa semua pasukan penyelamat, anggota agensi kerajaan, sukarelawan dan rakyat yang membantu mangsa banjir selain mendoakan agar cuaca segera pulih serta semua mangsa diberi perlindungan dan kekuatan menghadapi dugaan itu.
Setakat 8 pagi Jumaat, situasi banjir di Perak bertambah buruk apabila 2,171 penduduk daripada 759 keluarga dipindahkan ke 22 pusat pemindahan sementara (PPS) manakala di Kedah, sebanyak 206 penduduk dipindahkan ke tiga PPS yang baru dibuka di Kulim malam tadi.
Sementara di Pulau Pinang, sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Awang Had Salleh di Kampung Perlis, awal pagi tadi berikutan hujan lebat sejak petang semalam yang turut menyebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan dan cerun runtuh di Jalan Tun Sardon. - Bernama
Ringkasan AI
- Petani, penternak dan nelayan terjejas banjir diminta melapor kerosakan atau kehilangan pendapatan kepada pejabat pertanian atau agensi terdekat
- Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu, menyatakan kementerian akan memberikan bantuan untuk meringankan beban mangsa
- Kerajaan dan agensi berkaitan sedang mengagihkan bantuan dan memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat
- Jasa penyelamat, anggota kerajaan, sukarelawan dan rakyat yang membantu dihargai
- Situasi banjir di Perak dan Kedah bertambah buruk dengan ribuan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
