Etnik Rohingya sertai Ijtimak Tabligh digesa buat saringan

Pemandangan udara di sekitar Masjid Sri Petaling yang kelihatan lengang. -Foto Bernama
Pemandangan udara di sekitar Masjid Sri Petaling yang kelihatan lengang. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dalam usaha membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) di Malaysia, Mercy Malaysia semalam menasihati etnik Rohingya di negara ini khususnya yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu, tampil membuat saringan..

Pengurus Besar Operasi Program Mercy Malaysia, Mohammad Said Alhudzari Ibrahim berkata, pihaknya menganggarkan kira-kira 500 etnik Rohingya menyertai Ijtimak Tabligh berkenaan dan telah mengenal pasti sebahagian daripada mereka.

Menjelaskan ada sebahagian mereka yang telah melakukan saringan kesihatan, beliau berkata, wujud kebimbangan dalam kalangan mereka untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 kerana khuatir ditangkap pihak berkuasa.

Setakat ini, tiada kes positif Covid-19 dikesan melibatkan masyarakat itu.

"Bagi mereka yang takut membuat saringan, Mercy Malaysia akan berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan untuk tindakan selanjutnya setelah mendapat maklumat," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohammad Said Alhudzari berkata, Mercy Malaysia juga berkerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET), Malaysian Relief Agency (MRA), Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Taiwan Buddhist Tzu Chi Foundation Malaysia (Tzu Chi) dalam menjejaki etnik Rohingya itu.

Beliau berkata, jika terdapat etnik Rohingya yang positif, Mercy Malaysia akan memastikan keluarganya juga dikuarantin dan bantuan makanan disampaikan kepada mereka.

Setakat ini, terdapat 178,990 etnik Rohingya di seluruh negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: