'Saya mungkin akan mati sebelum kes saman Anwar selesai' - Tun M

Anwar (kiri), Mahathir
Anwar (kiri), Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan kekecewaannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis apabila peguam yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melarangnya membuat ulasan.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi yang berusia 100 tahun itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas dalam kes saman fitnah RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu dalam Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: 'Perlaksanaan Sebuah Idealisme', dua tahun lalu.

“Peguam Anwar melarang saya mengulas soalan yang mereka ajukan dan hanya menyuruh saya jawab setuju atau tidak setuju.

“Bukan itu sahaja, soalan yang diajukan tidak relevan dengan kes saman fitnah ini, jadi saya mungkin meninggal dunia sebelum kes ini selesai,” katanya.

Ketika itu, peguam Ranjit Singh yang mewakili Anwar, 78, bertanya mengenai kekalahan teruk parti Pejuang dalam pilihan raya kecil (PRK) Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Pejuang berkata, isu yang perlu diketengahkan ialah dakwaan fitnah Ahli Parlimen Tambun terhadapnya.

Menurutnya, peguam menyerang dengan soalan-soalan peribadi sama ada beliau seorang yang baik atau jahat.

Sedangkan katanya, Anwar menuduhnya mencuri wang, tidak membayar cukai, menyalurkan wang ke luar negara dan memperkayakan anak-anak termasuk kroni.

“Soalan-soalan yang dikemukakan Ranjit mungkin mengambil masa 10 hingga 15 tahun untuk diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak ada masa, Yang Arif, kerana saya sudah berusia 100 tahun, saya tidak mampu jawab semua soalan ini,” katanya.

Dr Mahathir juga sempat berseloroh apabila seorang lagi peguam Anwar, Razlan Hadri Zulkifli memberitahu pihaknya berhasrat untuk menyoal lanjut dalam prosiding akan datang.

“Kalau begini, saya akan hidup sehingga berumur 200 tahun,” kata Dr Mahathir.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Donald Joseph Franklin menangguhkan prosiding tersebut ke Rabu minggu depan.

Pada 3 Mei 2023, Dr Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutan, Dr Mahathir mendakwa Anwar telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya.

Menurut beliau, antaranya termasuk kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.

Sedangkan katanya, kenyataan berkenaan tidak benar dan menjatuhkan imejnya sebagai seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Anwar yang merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam penyataan pembelaan, 14 Jun tahun sama mendakwa saman Dr Mahathir sebagai melemahkan kredibilitinya selaku Perdana Menteri selain mewujudkan perpecahan kaum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Anwar berkata, berdasarkan Sijil Perakuan Segera yang difailkan plaintif, ia menyatakan tindakan saman mesti dilupuskan dengan segera kerana (ketika itu) enam negeri akan membubarkan sidang DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu pemberian kontrak secara langsung kepada Opcom Sdn Bhd yang mana anak ketiga Dr Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz adalah pengarah syarikat tersebut pada 30 Mac 1994 hingga 14 Oktober 2009.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!